Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TIMUR

ARKIB : 16/12/2008
Tempoh siap Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua dilanjut

Tempoh siap Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua dilanjut

KOTA BHARU 15 Dis. - Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang sepatutnya siap pada Disember tahun depan telah dilanjutkan tempoh pembinaan setahun lagi sehingga 2010.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, tindakan sedang diambil oleh kontraktor terbabit bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual baru yang ditetapkan itu.

Menurut beliau, secara teknikalnya dengan lanjutan masa berkenaan bermakna projek jambatan itu tidak terlewat walaupun mengikut kontrak asalnya ia agak ketinggalan.

"Agenda mengenai kelewatan projek itu tidak dibincangkan secara khusus tetapi dalam perbincangan tadi terdapat juga cadangan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak kontraktor asal.

"Ini kerana kelewatan dan kegagalan menyiapkan sebarang projek akan memberikan kesan dan imej yang tidak baik kepada kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis itu kali ke-4 tahun ini di Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan di sini.

Mustapa pada mesyuarat kali ke-3 majlis itu pada 12 Oktober lalu telah mengarahkan JKR negeri menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyiasat punca kelewatan projek pembinaan jambatan itu.

Ini kerana projek kerajaan Persekutuan bernilai RM150 juta yang dimulakan sejak 18 Jun tahun lalu itu sehingga kini hanya siap kurang daripada 10 peratus.

Majlis pecah tanah projek itu telah disempurnakan pada 2 Ogos tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mengikut jadual asal, ia dijangka siap pada 17 Disember tahun depan.

Projek itu yang merentasi Sungai Kelantan menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat bagi mengatasi kesesakan berikutan jambatan sedia ada sudah tidak mampu menampung aliran trafik terutama pada waktu puncak.

Mengikut perancangan, jambatan kedua sepanjang 811 meter itu dibina bersebelahan jambatan lama dan ia turut melibatkan pembinaan jalan bertingkat bagi memudahkan aliran masuk dan keluar trafik.

Laluan bertingkat itu menghubungkan tiga lokasi iaitu dari Pasir Pekan ke Bulatan Kijang, Jalan Hamzah ke Wakaf Siku dan Jalan Sultan Yahya Petra ke Jalan Dusun Muda.

Setiap laluan akan mempunyai tiga lorong dan juga lorong khusus untuk motosikal dan basikal selebar 1.5 meter bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN