|
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Parti Progresif Rakyat (PPP) tidak akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) sebaliknya mencadangkan Presidennya, Datuk M. Kayveas meletakkan jawatan kerana menyatakan hasratnya meninggalkan BN jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dipinda.
Penasihat PPP, S.I. Rajah berkata, dalam situasi sekarang hanya wujud dua pilihan sahaja iaitu sama ada PPP benar- benar menarik diri daripada BN atau Kayveas meletakkan jawatan.
Secara peribadi, kata bekas presiden PPP itu, beliau melihat Kayveas yang perlu keluar dari PPP kerana memberikan kata putus secara bersendirian tanpa membuat sebarang referendum atau persetujuan ahli-ahli akar umbi parti sebelum mengugut meninggalkan BN.
“Sebagai penasihat parti dan bekas senator, saya telah bertemu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Parlimen pagi ini dan memberikan jaminan PPP tidak akan meninggalkan BN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdullah semalam berkata, tindakan untuk keluar daripada BN adalah menjadi hak PPP dan jika itu adalah pilihan parti tersebut, maka tidak ada mana-mana pihak yang boleh menghalang mereka.
Kayveas semasa merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP akhir bulan lalu menyatakan bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
IKLAN@UTUSAN
|