|
MELAKA 10 Dis. - Ugutan yang dibuat oleh Parti Progresif Rakyat (PPP) untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) sedikit pun tidak menjejaskan parti memerintah, sebaliknya ia akan kembali memperkuatkan BN pada masa depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan pemimpin parti kecil itu yang terus mengugut untuk keluar daripada BN nyata telah melemahkan PPP sendiri.
"Jadi kalau PPP nak keluar daripada BN, silakan. Saya sokong keputusan Pengerusi BN berhubung hal ini," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, PPP bebas untuk meninggalkan BN jika pemimpinnya mahu berbuat demikian.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang disyaratkan oleh PPP untuk ia kekal sebagai parti komponen BN.
Baru-baru ini, Presiden PPP, Datuk M. Kayveas berkata, partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Gesaan itu dibuat ketika Kayveas merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP akhir bulan lalu.
Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, ISA adalah satu akta yang penting dan serius bagi menjamin keselamatan orang awam serta sangat diperlukan bagi negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia.
Katanya, ISA juga bukan hanya terdapat di Malaysia tetapi juga digunakan di beberapa negara lain termasuk Singapura dan Amerika Syarikat.
Mohd. Ali menjelaskan, tindakan pemimpin PPP mengugut pucuk pimpinan BN dengan menggunakan ISA adalah satu usaha untuk mencari publisiti murahan semata-mata dan ia tidak akan berjaya.
IKLAN@UTUSAN
|