VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 10/12/2008

SG 553 senjata baru Paskau




DALAM Angkatan Tentera Malaysia (ATM), nama Pasukan Khas Udara (Paskau) mungkin kurang terserlah seperti ‘abang-abangnya’ iaitu Gerup Gerak Khas (GGK) dan Pasukan Khas Laut (Paskal).

Mungkin kerana tidak banyak kejayaan dalam operasi atau misi khas yang pernah dicatat oleh Paskau disebabkan usianya yang lebih ‘muda’ berbanding kedua-dua pasukan khas kebanggaan Tentera Darat (TD) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.

Mengikut sejarah, GGK telah aktif sejak 1960-an manakala Paskal pada 1975 sedangkan elemen pertama Paskau hanya bermula 17 Mac 1999.

Namun, berdasarkan kemahiran dan kelengkapan, Paskau tidak kurang hebatnya malah tidak keterlaluan jika dikatakan pasukan elit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini mungkin lebih ke depan.

Antaranya, perolehan persenjataan seperti raifal tempur Sig SG 553.

Kemasukan SG 553 ke dalam aset Paskau sekali gus menjadikannya antara pasukan khas terawal di dunia menggunakan senjata canggih buatan Switzerland ini.

Menurut Pegawai Memerintah Rejimen TUDM, Leftenan Kolonel Mohamed Nazri Dashah, SG 553 mempunyai reka bentuk fleksibel dan padat ditambah ciri-ciri berkuasa tinggi serta mampu beroperasi dalam apa jua situasi.

Katanya, menggunakan peluru berkaliber 5.56 milimeter (mm), SG 553 berupaya memberikan kuasa tembakan yang tinggi untuk jarak dekat dan sederhana sehingga 300 meter.

Bagaimanapun, jelas beliau, kehebatan sebenar SG 553 adalah keupayaannya menembak tepat ke sasaran.

“Ketepatannya hampir menyamai senjata yang digunakan oleh penembak tepat dan penembak hendap.

“Kelebihan ini membolehkan anggota Paskau menggunakan SG 553 untuk dua tujuan dalam satu misi, iaitu sebagai senjata tempur dan senjata penembak hendap,” katanya ketika ditemui pada program Sehari Bersama Media sempena jubli intan ATM di Rejimen TUDM, Banting, Selangor baru-baru ini.

Beliau menambah, kelebihan-kelebihan tersebut amat sesuai untuk kegunaan pasukan khas atau komando.

Pada program berkenaan, para peserta yang terdiri daripada wakil-wakil media cetak dan elektronik berkesempatan mencuba dan ‘menikmati’ ketepatan serta kehebatan ‘mainan’ baru Paskau ini dalam pertandingan menembak.

Bagi para peserta yang jarang-jarang berpeluang menggunakan senjata api, menembak sasaran dengan SG 553 buat pertama kali dibantu peralatan pandang-lihat 4 X magnifier holographic sight tidaklah begitu sukar.

Malah, ada di kalangan mereka berjaya menembak tepat ke sasaran atau dalam istilah lain disebut bull’s eye.

Dalam pertandingan berkenaan, kesemua senjata yang digunakan dipasang dengan penyenyap bagi mengelak bunyi bising setiap kali tembakan dilepaskan.

Bagaimanapun, ia tidak memberi sebarang perbezaan kepada para peserta kerana bunyi yang dikeluarkan masih berupaya memekakkan telinga walaupun dipasang penyenyap.

Bayangkan jika tidak dipasang alat berkenaan, mungkin tiada langsung peserta berjaya menembak tepat ke sasaran kerana ‘terkejut’ setiap kali melepaskan tembakan.

Keistimewaan lain dapat dilihat ketika mencuba SG 553 adalah kelongsong yang dilepaskan tidak terpelanting ke sebelah sisi penembak kerana peluru bergerak 45 darjah ke depan.

Ini bermakna SG 553 boleh dikendalikan oleh penembak kidal atau bukan kidal.

Tidak seperti senjata tempur ATM lain iaitu M16 dan Steyr, kelongsongnya akan terpelanting ke arah penembak lain atau sesiapa sahaja yang ada bersebelahan.

Disebabkan masalah sedemikian, penembak kidal terpaksa menggunakan senjata M16 atau Steyr yang dikhaskan bagi mengelak kelongsong terkena muka mereka.

SG 553 juga dilaporkan terbukti lasak apabila keupayaannya tidak terjejas semasa diuji dalam pelbagai bentuk muka bumi seperti air, debu dan lumpur.

Didatangkan dalam dua variasi, iaitu laras panjang (LB) dan laras pendek (SB), kedua-dua pangkalnya boleh dilipat untuk keselesaan anggota mengikut kesesuaian keadaan dan misi.

Pastinya perolehan SG 553 akan memantapkan lagi keupayaan Paskau sebagai sebuah pasukan elit yang disegani kawan dan digeruni musuh.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.