|
ENTAH marahkan aktor Bollywood yang dianugerahi gelaran “Datuk” atau sedihkan bencana menimpa kerabatnya di Mumbai atau hujan membantutkan pergerakan, sukar dipastikan. Tiba-tiba sahaja angin atuk tak menentu. Di matanya, nenek dan aku seperti ada enam tangan. Boleh buat ini itu dalam tempoh dua puluh empat jam.
“Kemaruk apalah pula atuk kamu tu. Entah ada, entah hilang, nenek pun lupa mana disimpan!” Rungut nenek sambil tangan menebeng merentangi mukaku sewaktu aku sedang mengemas pakaian dalam bilik mereka.
“Cari apa, nek?”
“Kaachi.”
Mendengar nama pelik itu, aku terus mendapatkan atuk yang sedang mendail sementara gagang telefon dikepit di antara dagu dan bahu.
Tidak mahu mengganggu, aku menerpa ke muka pintu bilik sejurus wajah perempuan yang kuwarisi bundar matanya menjengah keluar. Bahu kirinya terjungkit menyangga beban di tangan kanan yang mengendong sebuah beg plastik besar.
“Mujur jumpa. Nah, tolong buka dan kiraikan kain ni. Tak payah basuhlah. Matahari tak ada. Puyan bah susah kering. Mesin jahit kecil tu boleh pakai lagi, kan?” Selamba tutur nenek kutangkap satu per satu.
Tanganku menyambar sebungkus kain putih tanpa membenarkan bibir bergetar mahu bersuara.
Selaku bakal graduan jurusan fesyen, kain itu mudah sahaja dijeniskan. Kapas tulin. Tekstur benangnya halus, daging kainnya le‘it macam kain songket Kelantan.
Sewaktu mesin jahit automatik seberat sekilogram berkuasa elektrik aku keluarkan dari kotak, atuk pun meletak gagang.
Mataku cepat mencari kelibat nenek.
“Hah, mereka setuju tak?”
Suara nenek menggeletar, melawan butir-butir kasar hujan menimpa atap. Angin Disember rakus menerobos jendela. Keras menampar rambu serban atuk tatkala wajahnya sengaja dihadap ke luar rumah.
“Esok sampailah. Kata Hidayah, Nazrin setuju buat pada musim hujan. Cuaca sejuk. Bius sedikit, dah kebas.” Bersungguh-sungguh atuk merincikan perbualannya di telefon tadi.
Mendengar tiada respon, atuk menyambung peri.
“Tidaklah kita nak dera budak-budak tu. Patut ikut cara moden, kita buat. Yang adat kita jaga. Cukuplah Angah direndam Tok Ku kamu dalam sungai sampai biru. Huh! Mengikut adat tak bertempat!”
Tersentak aku yang leka mengira-ngirai kain kaachi disergah suara atuk. Belum reda marah pada besannya yang mengkhatankan Angah secara tradisi tanpa mahu mendengar nasihat doktor.
Jungkitan keningku berjawab juihan bibir nenek yang kemerahan air sirih. Detak jantungku laju, seolah-olah selesai membuat lompatan bertali 100 kali dalam masa lima minit.
Entah dari mana nak kumulakan pertanyaan dan pada siapa dan tentang apa dahulu?
“Pupuk mata dengan air sirih tiap-tiap malam kalau tak nak bangun pagi-pagi tadah embun.” Saran nenek sambil menepuk paha atuk dengan sebuah buku berkulit keras.
“Nak sindir kita lah tu. Sebab lama dah tak jadi osan, awak takut kita rabun, tercantas semua?" Omel atuk dalam rajuk.
Nenek kulum senyum seraya mencucuk pinggang atuk.
Curigaku galak menggelegak dalam benak. Konspirasi apa sedang mereka rancang? Aku hanya rancang menghabiskan cuti semester bersama mereka tiba-tiba seram sejuk pula aku dibuatnya.
“Nek… tuk, dari tadi lagi, pelik-pelik saja Along dengar. Kenapa dengan air sirih dan embun? Kain putih tu mahu buat apa? Atuk mahu cantas siapa? Seriaunya!”
Burai tawa nenek dan atuk pecah serentak. Keningku hampir bertaut macam kening kartun, dan kalau ada cermin berdekatan, boleh dilihat mulutku melopong macam sepat lemas kehabisan oksigen.
Hilai
Istighfar mengkhatamkan hilai mereka yang beranak-pinak. Tenang mulai memeluk suasana apabila kulihat atuk mengelap-ngelap mata nenek yang berair dengan bucu serbannya. Mata sendiri atuk kelipkan cepat-cepat supaya kering.
“Ibu dan ayah Along dah setuju buat Maarkham. Atuk mahu sunatkan sendiri Acik dan Uda, ikut adat Malabari.”
Atuk mengangguk laju mengiyakan penerangan nenek yang menepuk-nepuk lembut bahuku.
Mendengar perkataan ‘Maarkham’ dan ‘Malabari’, baru aku perasan hidung mancung dan warna kulitku ini diwarisi daripada atuk Khuty Hasan, bapa ibu yang berkulit tidak secerah Raj Kapoor tidak pula segelap Rajnikanth. Parasku menyalin sedikit wajah warga Muslim Pantai Malabar, selatan bumi Taj Mahal.
Namun istilah ‘khatan’ lebih menunjal perasaan. Apakah tragedi musim cuti sekolah dua tahun lepas akan berulang?
“Tok mudim tersohor konon. Kolot. Mengalahkan orang kampung kita dulu. Sia-sia kamu, anaknya jadi doktor.”
Masih panas telingaku mendengar atuk memarahi ayah kerana tidak mengkhatankan Angah di klinik sendiri. Ayah serba-salah. Hendak dibantah, bimbang ayahnya, Tok Ku berkecil hati kerana kepakarannya sebagai bekas tok mudim diperlekeh.
“Kalau ya pun ikut adat, biarlah bertempat. Zaman dah berubah. Rasikan adat dengan masa. Dah ada ubat bius, kenapa direndam cucu kita sampai biru?” Soksek-soksek atuk menggugam mengharapkan respon.
Hujan malam musim tengkujuh kian mencurah-curah selebat cerita atuk selepas berjemaah Isyak. Ledakan khuatir dalam dada atuk bertanya, akan lenyapkah adat dan jati diri kaumnya di bumi Melayu?
Monsun Timur Laut turut bersedih kerana terpaksa menegah atuk menghadiri pengkebumian adiknya akibat pengeboman Mumbai. Bumi Kerala mendakap mayat saudagar kain yang gigih berulang-alik berdagang itu semasa langit Kelantan mengaminkan solat jenazah ghaibnya.
Hampir setengah abad bersama, atuk tak pernah rasa asing di bumi Melayu. Kata nenek, walaupun atuk berdarah Malabari, sikap toleransi dan menghormati resam Melayu bersebati dalam tubuh lelaki bermazhab Hanafi itulah mempateri cintanya.
Sabar kunanti esok dalam debar. Keterujaan meruah. Minda ligat merangka-rangka pola blok baju tradisional yang akan kujahit mengikut reka bentuk dalam buku berkulit keras nenek beri sebelum aku masuk ke bilik tadi.
Dalam pejam kubayangkan rupa sendiri berbaju leher bulat dari kain kaachi. Labuhnya paras pinggang, berlengan panjang dipakai dengan kain kembang paras buku lali. Selendang panjang diikat seperti perempuan turun ke bendang.
Ketika bercermin di minda, tergambar leherku terdedah. ‘Kena ubah gaya ikatan duppate tu...’ desis sukma.
‘Pakai macam selendang Melayu. Sarung dulu kepala dengan anak tudung. Pinkan selendang panjang itu dibawah dagu. Satu hujung dipaut ke atas kepala bersemat peniti, bucu satu lagi berkancing kerongsang di bahu.’ Betik hatiku keriangan umpama pereka fesyen mendapat ilham mengasimilasikan fesyen Malabari-Melayu.
Mata masih besar tidak mahu lena kerana otak lapar minta disuap fakta tentang Maarkham.
Wayar sambungan Internet dari komputer riba kucucuk pada soket talian tetap telefon rumah perabung lima beratap bata merah.
Minda ligat menghadam fakta setelah menggelintar kata kunci “Malabari” menerusi enjin pelayar Yahoo. Dua jam kemudian, mataku akur kepada hujan tengah malam yang memujuk-mujuk supaya pejam.
Hujan reda seketika dan matahari menggeliat manja.
Di luar rumah, riuh-rendah saudara-mara sebelah nenek bergotong-royong mendirikan khemah. Kaum kerabat atuk hanya daripada keluarga arwah Pakcik Jalil. Semua anak cucu gemulah datang kecuali balunya masih berkabung.
“Khemah dah kembang. Cepat tolong berikan baju yang dah siap kepada budak-budak yang datang. Kalau tak, kempunan atuk kamu nak rasa macam balik kampung sendiri.” Ada gesa dalam bicara nenek sejurus melihat aku beredar dari mesin jahit ke ruang tamu.
Bangga
Ranggi bangga memekari sukma melihat nenek dan atuk serasi bersama walaupun berbeza adat dan budaya. Bumi Malaya bukan sahaja melimpahkan rezeki buat atuk bahkan menganugerahinya seorang suri hati. Sejak mengahwini nenek, atuk terus bermastautin di Kelantan. Adiknya sahaja berulang-alik ke tanah tumpah darah menyambung warisan perniagaan kain keluarga.
“Pen Kuppaayam nak dijahit berapa helai, Tuk?” Tanyaku spontan melihat atuk tekun menggaul empeng beras dengan gula merah dan pisang dalam dulang besar di serambi.
“Eh, malam tadi atuk cerita pasal adat budaya saja, kan? Bab baju sudahkah?” Bola mata atuk besar membulat tepat menunaki wajahku. Terlepas sudip dari genggaman tatkala mendengar nama pakaian tradisi wanita Malabari itu kusebut lancar.
“Along tahu sendirilah. Kan atuk cakap… adat, budaya macam ilmu juga, kalau dicari, dikongsi… makin kaya kita.”
“Bagus…bagus. Buatlah untuk Usu, untuk Ijat anak arwah Pakcik Jalil. Kira semua sepupu Along yang kecil-kecil. Kalau lebih, bagi sehelai kepada Fidah anak Tok Aziz sebelah rumah.” Usul atuk bersulam senyuman megah.
Matahari petang menjemput pelangi. Aroma teduh hujan mewangi.
“Avule dalam dulang besar ni, boleh Along rasa dulu? Upah penat Along siapkan ini.” Atuk terpempan melihat aku memperagakan Pen Kuppaayam putih berles ungu pada pergelangan tangan dan kaki baju dengan duppate warna bunga bongor.
Setelah lama tiada jawapan, akhirnya aku tunduk memeluk atuk. Kubisik manja ke pelipisnya, “Erm… makan ramai-ramai, masa upacara Sunnath Kalyanam esok lagi seronok, kan?”
Dahiku atuk kucup lama. Sebutan nama lain bagi majllis khatan terpacul dari bibirku melengkapkan kebanggaan atuk. Degup jantung kami sederap ketika lafaz salam dari luar disambut nenek.
Sekonyong-konyong nenek dan ibu menonong masuk ke dapur. Jinjitan raga-raga besar untuk jamuan esok dihenyak ke penjuru dapur bersama dengusan lelah.
“Riuh orang bertanya. Along naik pelaminkah? Kendurinya besar macam majlis kahwin.” Seloroh ibu berbalas senyumku dan kekehan atuk serta nenek.
Rintik hujan malam rancak mendengar perbualanku dengan Angah, Acik dan Uda sekaligus mendodoi nyenyak penghuni lain rumah agam ini.
“Terpotong semua… tak boleh kencing nanti, baru padan muka. Bukannya terang sangat mata atuk, tu.” Usikan Angah menyedut semua darah di muka Acik dan Uda.
“Osan Khuty Hasan bukan calang-calang. Dia osan turun-temurun.” Lembut suara ibu terpacul di sebalik langsir.
“Osan?” Serentak ketiga-tiga suara adik lelakiku mengapung tanya.
“Gelaran bagi tok mudim di kampung atuk. Orang Islam yang mengambil upah menggunting rambut. Cukur jambul bayi. Ha… ada satu lagi kerjanya yang istimewa. Cuba teka!”
Sengaja aku beri penerangan tergantung. Harapnya Acik dan Uda terhibur dan hilang seketika ketakutan mereka.
Acik tak sabar terus mengasak.
“Tanya atuk sendiri.”
Ibu menggeleng dengan bibir berkemam mendengar jawapanku. Segera dikerah anak- anak lelaki yang bakal dewasa itu keluar dari bilik anak dara sulungnya.
Debaran
Jumaat tiba dengan debaran buat Acik dan Uda. Pakaian baru pemberian ayah, hadiah dan juadah pemberian saudara mara khas untuk mereka tidak berjaya memalitkan senyum pada wajah. Tandu berumbai menghiasai dua ekor kuda disewa khas pun tidak menguja mereka.
“Lepas diarak ke masjid, terus bawa balik budak-budak tu. Tak payah ke sungai. Kamu bius saja. Ada kaedah lebih cepat, dijamin selamat. Kenapa cari susah?”
Angin dhuha membawa bisik-bisik atuk- ayah itu menerobos pendengaranku. Ada nada perli berbaur amaran dapat kukesan.
Sebuah beg kotak hitam ternganga memperlihatkan beberapa pucuk jarum disteril, sebotol ubat bius, klam dan setongkol kapas. Cermat ayah keluarkan daripada beg perubatannya ketika nenek merentang tirai dalam bilik di hujung dapur.
Atuk minta dulang berisi abu dapur arang. Aku segera ringankan tulang.
“Nak terus buat telur asin?" Selorohku menyembunyikan curiga.
“Mudah tadah titis darah. Payah cuci kalau terpercik ke lantai. Najis.” Atuk menyambut huluranku sambil serius memberitahu.
Aidiladha menyapa. Angin musim tengkujuh masih menyelak tirai Maarkham minggu lepas. Ayah bercerita penuh kekaguman tentang kecekapan Osan Khuty Hasan mengkhatankan Acik dan Uda.
Mereka duduk di atas lesung kayu serupa mangkuk tandas. Pangkal tandan dan bunga kelapa atuk raut, nenek tumbuk jadi serbuk. Dibalut pada luka adik-adikku agar darah cepat sejat.
“Seminggu lagi gerenti boleh pakai seluar raya.” Terngiang-ngiang gurauan atuk.
Acik dan Uda senyum lemah sewaktu di bawah khemah hadirin menjamu selera dengan beriani gam dan kurma kambing berlatarkan kemerduan Badar Maulud bergema lantang. Tenggelam suara Acik dan Uda mengaduh kesakitan selepas kesan bius hilang.
Keriangan usik mengusik saudara-mara datang beraya berbaur aroma halwa avule adunanku.
“Macam biskut Conflakes Madu.” Komen ibu kepada Zafirah, anak arwah Pakcik Jalil sambil menyua ketupat palas berinti serunding daging ke bibir ayah.
Lantang suara Ijat dan Fidah berebut Pen Kuppaayam putih berles merah mengalih tumpuan.
Ayah pujuk Fidah beralah kerana Ijat lebih muda. Lagipun Fidah dah lama pakai baju sejak Maarkham minggu sudah. Tapi Fidah enggan sebab geramkan Ijat curi bajunya untuk meraikan Aidiladha.
Ketika kedua-dua perempuan baru baligh itu asyik berebut-rebut, atuk senyap-senyap mengeluarkan pisau khas yang disimpan sehabis sahaja kerjanya minggu sudah.
“Siapa tak lepaskan baju tu, atuk potong bulu ketiaknya!”
Acik dan Uda serentak mahu menjawab teka-tekiku dahulu.
IKLAN@UTUSAN
|