VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 Ogos 2014 / 6 Syawal 1435  
  Carian Arkib
SELATAN

ARKIB : 06/12/2008

Seri Menanti tetap berseri


Muzium Diraja, Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah menyimpan pelbagai warisan sejarah keluarga Diraja Negeri Sembilan. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN


KUALA PILAH 5 Dis. - Tiada siapa dapat menafikan keunikan dan keindahan Istana Lama Seri Menanti di sini yang bergelar ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan.

Di sebalik keutuhan berdirinya istana yang sudah berusia 100 tahun itu, Seri Menanti menyimpan pelbagai warisan sejarah yang tidak ternilai.

Menjejakkan kaki ke kawasan tersebut seakan terasa nostalgia zaman dulu kala - menatap reka bentuk istana yang bergaya tradisional dan keheningan kawasan sekitar yang masih terpelihara keindahannya.

Itu belum lagi mendalami atau memperhalusi sejarah warisan istana tersebut termasuk seni binanya yang bukan saja masih kukuh tetapi 'berseri'.

Istana Lama Seri Menanti juga penuh keunikan apatah lagi ia diperbuat daripada kayu keseluruhannya dan tidak menggunakan paku besi sebaliknya binaannya 'dipaku' dengan kayu yang dipanggil pasak.

Pembinaannya bermula pada 1902 dan siap pada tahun 1908 bagi menggantikan Istana Pulih yang dibakar askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya perang Bukit Putus.

Istana itu setinggi empat tingkat dan pelan asalnya direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib.

Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Woodford dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Seremban dan telah diluluskan pada November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Istana ini digunakan untuk upacara menghadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard turut hadir dalam upacara itu.

Istiadat perasmian istana ini dilakukan oleh Yang Dipertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda bersemayam di istana ini sehingga 1931, sebelum baginda berpindah ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.

Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada 1959 hingga 1964.

Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga 1992 dan Yamtuan Besar Tuaku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman kemudian memerintahkan istana ini diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'.

Perasmiannya dilakukan pada 14 Julai 1992 dan mulai saat itu dinamakan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang mempamerkan koleksi keluarga Diraja Negeri Sembilan.

Dalam usaha mengekalkan keunikannya, setiap ruang istana ini dikekalkan tanpa mengubah bentuk asal bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut.

Bersempena dengan usianya yang sudah mencecah 100 tahun di samping warisan sejarahnya yang masih terjaga, usaha menjadikan istana itu sebagai tapak warisan dunia kini dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, beliau telah meminta Muzium Negeri selaku pihak pengurusan istana untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan tersebut.

"Proses bagi mendapatkan status itu daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sedang dilaksanakan di semua peringkat," katanya.

Katanya, permohonan tersebut adalah sebagai langkah membantu Negeri Sembilan melindungi Istana Lama Seri Menanti itu yang berusia 100 tahun pada tahun ini.

"Selain itu, kita berharap dapat menarik ramai pelancong melawat Istana Lama Seri Menanti dan Negeri Sembilan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan usaha sama Kementerian Pelancongan telah menghantar permohonan kepada UNESCO untuk mengiktiraf Pulau Pinang dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dan pada Julai lepas, UNESCO telah memberikan pengiktirafan tersebut.

Siapa tahu selepas bandar Melaka dan Georgetown di Pulau Pinang, kita boleh berbangga dengan satu lagi warisan sejarah bangsa apabila ia diiktiraf oleh UNESCO.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.