Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 02/12/2008
Kesan psikologi keganasan

Kesan psikologi keganasan

Serangan pengganas ke atas Mumbai, India menambahkan lagi episod serangan keganasan di dunia yang dilihat sebagai satu tempat yang semakin tidak selamat untuk didiami. Atas alasan apa sekalipun, keganasan sememangnya akan memberi impak yang besar kepada kehidupan manusia. Lihat sahaja kesan serangan 11 September dan pengeboman Bali ke atas rasa tidak selamat manusia.

Walaupun istilah 'serangan keganasan' itu mungkin membawa makna dan sifat yang berbeza kepada pelbagai pihak, apa yang nyata keganasan adalah fenomena yang kompleks dan pelbagai sifatnya.

Oleh itu, dalam membincangkan isu serangan keganasan, ia perlu dilakukan dengan melihatnya dari pelbagai sudut, bukan setakat mencari satu teori untuk menerangkan mengenai keganasan dan tingkah laku penyerangnya.

Tidak ada satu penjelasan atau teori yang dapat menerangkan kesemuanya mengenai serangan keganasan dan penyerangnya. Begitu juga dalam melihat pola pembuat keputusan yang dilihat berbeza daripada satu kumpulan kepada kumpulan pengganas yang lain.

Walaupun elemen psikologi memainkan peranan penting dalam memahami mengapa serangan keganasan berlaku, memahami fenomena kompleks ini memerlukan pendekatan yang bersifat interdisiplin yang dapat mengintegrasi pengetahuan mengenai keganasan daripada sudut sejarah, budaya, ekonomi, ideologi dan keagamaan.

Dengan perkataan lain, adalah amat penting untuk memahami serangan keganasan dari sudut konteks politik, sejarah dan budaya sesuatu kumpulan pengganas itu. Ini kerana keganasan adalah produk di mana tempat dan masa sesuatu kumpulan pengganas itu wujud atau dibentuk.

Penerangan dari sudut psikologi individu sahaja tidak mencukupi dalam memahami mengapa serangan keganasan berlaku. Pengganas bukanlah terdiri daripada orang yang mengalami kemurungan atau menghadapi gangguan emosi.

Malah, kemasukan ke dalam kumpulan pengganas akan menyaring keluar mereka yang menghadapi masalah psikologi kerana ia melibatkan risiko keselamatan yang perlu ditanggung.

Justeru, terdapat motivasi individu yang pelbagai dalam menyertai kumpulan pengganas. Ada yang menganggap menyertai sesuatu kumpulan pengganas sebagai memberi kuasa terhadap orang yang tidak berdaya. Membalas dendam dilihat sebagai motivasi utama. Bagi kumpulan yang lain, keganasan bertujuan untuk mendapat perhatian pihak luar.

Ada juga yang menganggap menganggotai kumpulan pengganas adalah perjuangan suci yang perlu dilakukan (untuk tujuan tertentu). Jelas, bagi setiap kumpulan pengganas terdapat perbezaan dari segi motivasi mengapa keganasan dilakukan.

Satu yang nyata ialah serangan keganasan bukan bersifat psikologi individu, tetapi lebih kepada sifat berkumpulan atau berorganisasi dan bercirikan sosial psikologi. Ia memerlukan satu penerangan analitikal untuk memahami fenomena keganasan yang bersifat kompleks ini.

Pengganas telah meletakkan identiti individu ke dalam identiti kumpulan dengan tujuan mereka dapat berkhidmat kepada kumpulan, organisasi atau jaringan mereka. Itulah keutamaan bagi mereka.

Bagi sesetengah kumpulan pengganas, terutama kumpulan pemisah, identiti kolektif ini dibentuk di peringkat awal lagi. Perasaan seperti kebencian ditanamkan dalam sanubari yang kemudiannya menjadi seolah-olah satu cara hidup mereka. Mereka sanggup mati kerananya.

Serangan keganasan menghakis perasaan keselamatan dan jaminan di peringkat individu dan komuniti. Ia boleh mencabar keperluan manusia di seluruh dunia untuk menjadi sebuah dunia yang selamat, teratur dan dikawal (Lerenr, 1980).

Kajian menunjukkan keganasan yang disengajakan menghasilkan kesan kesihatan mental yang lebih panjang daripada bencana alam semula jadi atau kemalangan.

Serangan keganasan adalah kejadian yang menyumbang kepada kesan menyeluruh seperti kepada mangsa dan keluarganya, rakan, pekerja penyelamat serta saksi kejadian. Malah, kesannya kepada keselamatan psikologi kepada sesuatu negara, bangsa dan dunia juga amat signifikan.

Kesan serangan keganasan kepada individu dan komuniti adalah berpanjangan. Mangsa-mangsa yang selamat sering kali merasa ketidakadilan telah dilakukan terhadap mereka. Peristiwa ini boleh membawa kepada perasaan kemarahan, kekecewaan, ketakutan, rasa tidak berdaya dan keinginan untuk membalas dendam.

Kajian juga mendapati bahawa bertindak balas ke atas perasaan kemarahan ini dan keperluan untuk membalas dendam boleh meningkatkan lagi rasa marah dan bersalah mangsa. Ia bukan lagi mengurangkan tekanan perasaan mereka.

Bagaimanapun, mekanisme mangsa untuk pulih kembali daripada peristiwa traumatik serangan keganasan adalah kuat. Ramai pakar trauma bersetuju bahawa kesan psikologi kepada komuniti ialah mereka menjadi lebih kuat bukannya bersifat psikopatologi.

Perasan takut, kebimbangan dan mengalami semula, keinginan untuk mengelak dan simptom hiperarousal jika wujud akan semakin berkurangan dari semasa ke semasa.

Bukti telah menunjukkan bahawa individu yang paling berisiko kepada kesan traumatik stres seperti posttraumatic stress disorder (PTSD) ialah mereka yang mengalami pendedahan yang paling tinggi kepada peristiwa tersebut seperti mangsa dan keluarga mangsa.

Pekerja penyelamat yang mempunyai hubungan langsung atau tidak dengan mereka yang hilang atau terbunuh juga akan merasa kesannya. Satu tugas yang sukar kepada pekerja penyelamat adalah untuk membuang/menghilang kesan-kesan kematian (seperti membuang mayat) dan aspek-aspek pengenalpastian mangsa yang terbukti dikaitkan dengan PTSD yang tinggi.

Satu contoh kesan psikologi serangan keganasan ialah pengeboman Oklahoma City. Hampir separuh daripada mangsa yang hidup terdedah secara langsung kepada pengeboman dilaporkan menghidap masalah kebimbangan, kemurungan dan ketagihan alkohol.

Lebih daripada satu pertiga melaporkan kecelaruan stres traumatik. Lebih setahun selepas pengeboman, peningkatan ketagihan alkohol, merokok, stres dan simptom-simptom PTSD meningkat dibandingkan dengan perkara-perkara yang sama di bandar-bandar lain.

Serangan keganasan dalam apa jua bentuk akan menyumbang kepada kesan sama ada psikologi, fizikal, sosial, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Serangan pengganas menjadikan seolah-olah dunia dilihat sebagai satu tempat yang semakin tidak selamat untuk didiami.

Oleh itu, atas alasan apa sekalipun, serangan keganasan bukanlah satu bentuk perjuangan yang dilihat wajar diamalkan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN