|
PULAU PINANG 20 Nov. - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr. P. Ramasamy gagal mengotakan kata-katanya untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan terdapat borang permohonan kaum bukan Melayu untuk berkhidmat dalam sektor awam telah dikoyakkan tanpa diproses.
Sebaliknya, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu memberikan alasan bahawa beliau tidak boleh mendedahkan rahsia yang diperoleh daripada sumbernya berdasarkan kajian yang dilakukan kira-kira enam tahun lalu.
"Ia adalah hasil penemuan saya dalam kerja semasa berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kalau ada bukti pun saya akan rahsiakan.
"Saya mesti hendak jaga sumber saya," katanya ketika menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Pembangunan 2009 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Timbalan Ketua Menteri II itu hanya akan membuktikan kebenaran dakwaannya mengenai dominasi kaum Melayu dalam sektor awam di negeri itu dalam persidangan DUN.
Isu dominasi orang Melayu dalam sektor awam menimbulkan perdebatan hangat pada hari pertama sidang DUN Pulau Pinang, Khamis lalu, apabila kerajaan negeri menuduh ia berpunca daripada dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, isu tersebut hanya sengaja diperbesar UMNO, sebaliknya tidak memperkatakan isu utama yang mahu difokusnya sepanjang perbahasannya.
''Perkara ini cuba dihebohkan UMNO, saya tetap mempertahankan apa yang dikatakan sebelum ini dan saya tidak membuat sebarang tuduhan tetapi itu adalah hasil kajian yang dilakukan.
''Segala risiko saya akan hadapi," katanya yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri.
IKLAN@UTUSAN
|