Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
PARLIMEN

ARKIB : 19/11/2008
Tambahan saluran RTM tampung bahan tempatan

Tambahan saluran RTM tampung bahan tempatan

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Syarikat-syarikat penjual drama dan filem tempatan akan mendapat lebih banyak peluang apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang menggunakan sistem digital dalam operasinya yang melibatkan penambahan lebih banyak saluran.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, dua saluran sedia ada tidak mampu menampung drama dan filem yang dihasilkan oleh penyedia kandungan tempatan yang kini berjumlah 400 syarikat.

''Berdasarkan dua saluran yang ada, kita hanya mampu menampung produk yang dikeluar oleh 50 hingga 60 syarikat penyedia kandungan tempatan sahaja.

''Semua syarikat terbabit perlu bersabar menunggu proses pendigitalan RTM ini selesai yang dijangka dalam tempoh beberapa tahun lagi," katanya menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pertambahan saluran televisyen berkenaan, katanya, akan turut memberi peluang kepada lulusan universiti tempatan termasuk Universiti Multimedia untuk terlibat dalam bidang pembangunan kandungan tempatan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Marcus Majigoh (BN-Putatan), Ahmad Shabery berkata, beliau telah mengarahkan RTM supaya memberikan keutamaan kepada produser filem yang sanggup membuat drama yang berlatarbelakangkan Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, langkah RTM menyiarkan drama berkenaan boleh menarik ramai pelancong untuk melawat dua negeri itu yang terletak di Malaysia Timur.

''Ramai orang melawat Korea Selatan selepas drama Winter Sonata disiarkan oleh televisyen negara ini. Mereka hendak pergi lihat bangku tempat hero duduk dan ini boleh dicontohi," ujarnya.

Tambah beliau, RTM sendiri juga bersedia untuk memasarkan filem dan drama yang memaparkan keunikan budaya penduduk dua negeri itu.

''Ini boleh dilakukan kerana berapa negara telah mengadakan perjanjian usaha sama untuk membeli bahan-bahan yang dikeluarkan RTM bagi dipaparkan di televisyen masing-masing," jelasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN