|
KUCHING 18 Nov. - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti tulang belakang dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak akan membiarkan gelombang tsunami politik Semenanjung melanda negeri ini.
Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa kini parti perlu melaksanakan beberapa strategi untuk menghalang cabaran baru dalam politik.
Beliau yang menyifatkan politik di Sarawak seperti 'angin yang belum menjadi tsunami' berkata, apa yang penting ialah memenangi hati dan minda pengundi muda yang mudah terpengaruh dengan angin perubahan politik.
''Buat masa kini terdapat beberapa jenis 'angin' yang melanda suasana politik negeri ini. Walaupun ia belum kencang tetapi PBB perlu berjaga-jaga dan mencegahnya daripada menjadi tsunami," kata beliau.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Golf Piala Cabaran Fadillah Yusof di sini malam kelmarin.
Perkataan tsunami politik merujuk kepada Pilihan Raya Umum Mac lalu apabila lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang dan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Di Sarawak pula, pakatan pembangkang kini memperolehi momentum baru apabila Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ngemah, Gabriel Adit menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau yang merupakan wakil rakyat bebas bersama-sama lebih 11,000 orang menyertai PKR.
Johari berkata, adalah penting bagi PBB yang menjadi tulang belakang BN untuk menjadi kuat dan bersatu bagi berhadapan dengan cabaran ini.
Beliau sambil merujuk kepada situasi politik Amerika Syarikat yang memilih untuk melantik Presiden bukan daripada kalangan kulit putih berkata, PBB juga memiliki ramai calon muda yang berkaliber sebagai pelapis kepada pemimpin sedia ada.
''Kita di PBB memiliki pasukan pemimpin termasuklah orang muda yang boleh diketengahkan untuk menerajui negeri ini pada masa akan datang," jelas beliau.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|