Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
FORUM

ARKIB : 17/11/2008
Satukan bangsa kita

Satukan bangsa kita

WALAUPUN negara kita sudah lebih 50 tahun merdeka, tidak dapat dinafikan bahawa perasaan perkauman masih agak kuat di kalangan rakyat. Saya tidak ingin pergi terlalu jauh.

Dari pengalaman saya mengendalikan kuliah di Universiti Putra Malaysia (UPM), sentiasa dilihat pelajar-pelajar duduk bertaburan mengikut kaum masing-masing dan jarang pula dilihat interaksi antara kaum.

Saya percaya ini turut berlaku pada institut pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai pelajar daripada pelbagai kaum.

Adakah daripada pandangan mata ini membolehkan saya membuat kesimpulan bahawa rakyat sebenarnya masih berpuak-puak mengikut kaum? Saya tidak pasti.

Mungkinkah itu sekadar menunjukkan bahawa mereka cuma selesa untuk berada dalam kelompok masing-masing, dan bukanlah bermakna mereka mempunyai sifat perkauman?

Contoh ini mungkin tidak menggambarkan apa-apa, tetapi mungkin juga secara halus menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perpaduan kaum di negara kita.

Sewaktu belajar di Amerika dulu fenomena pelajar duduk berkelompok mengikut kaum tidaklah ketara.

Malah boleh dilihat secara berleluasa kemesraan dan interaksi antara pelajar tempatan pelbagai kaum. Ketika di United Kingdom dan kini di Australia, saya tidak pasti kerana saya tidak lagi mengikuti kelas yang besar.

Dari dulu saya terfikir ini mungkin disebabkan rakyat telah dididik mengikut kaum sejak kecil.

Sememangnya kita akui sebahagian kita mempunyai kawan-kawan yang rapat dari kaum yang berbeza, tetapi kes terpencil tidak boleh dijadikan ukuran.

Bagi orang Islam, perasaan perkauman itu tidak ada sama sekali pada saudara-saudara kita yang seagama, malah kita reda berpimpinkan mereka yang memenuhi ciri-ciri pemimpin dalam Islam, walaupun mereka bukan dari kaum yang sama.

Hatta sekalipun, orang Islam diwajibkan berlaku adil pada semua manusia tanpa mengira mereka orang Islam ataupun tidak dan dari kalangan kaum apa pun.

Dalam konteks realiti Malaysia, perpaduan antara kaum ingin dicapai melalui berbagai-bagai cara.

Saya fikir orang bukan Islam agak sensitif dan salah faham sekiranya mereka dianjurkan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang dilabelkan sebagai sekolah Islam demi untuk menghasilkan keharmonian dan perpaduan antara kaum ini, walaupun mereka bukanlah dipaksa untuk menganut Islam.

Secara logik, langkah ini tidak akan dapat sambutan daripada orang bukan Islam.

Namun kewujudan berbagai-bagai aliran pendidikan mengikut kaum jelas menyukarkan lagi usaha untuk mengelakkan unsur-unsur perkauman yang boleh kita lihat wujud di mana sehinggalah ke IPT tempatan.

Mereka yang melaungkan konsep Malaysian Malaysia harus setuju konsep Sekolah Wawasan yang diutarakan Tun Dr. Mahathir.

Kalau tidak hipokrit sajalah mereka ini. Biarlah anak kita bercampur gaul dan berinteraksi dalam satu sekolah yang sama tanpa mengira kaum.

Alasan takut anak tidak memahami budaya dan bahasa nenek moyang tidak dapat diterima kerana kelas-kelas berkaitan boleh diwujudkan di Sekolah Wawasan. Juga saya dengar sekolah aliran Cina begitu baik pendidikan Sains dan Matematiknya.

Alangkah baiknya formula tersebut turut dikongsi bersama dengan kaum lain dalam satu sistem sekolah kebangsaan sahaja.

FIKRI
Canberra, Australia

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN