Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
UTARA

ARKIB : 14/11/2008
BN bidas tuduhan DAP

BN bidas tuduhan DAP

PULAU PINANG 13 Nov. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shabudin Yahaya membidas kerajaan DAP negeri yang mendakwa ketidakseimbangan struktur pekerjaan perkhidmatan awam di negeri ini adalah berpunca daripada Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P Ramasamy (DAP-Perai) perlu bertanggungjawab di atas kenyataannya dan mengemukakan bukti.

Katanya, banyak faktor yang menyumbang kepada bilangan rendah kaum bukan Melayu yang bekerja dalam sektor awam, antaranya gaji dan pekerjaan itu sendiri.

''Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu dan saya minta Yang Berhormat membuktikan perkara ini.

''UMNO tidak menentukan soal pengambilan pekerja kerana mereka perlu melalui proses temu duga oleh ketua jabatan dan saya membantah kenyataan Ramasamy bahawa borang permohonan mereka dikoyak... itu adalah tuduhan palsu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangkit membidas kenyataan Ramasamy tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ramasamy yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, tidak dinafikan ada banyak punca lain menyebabkan perkara itu berlaku, namun faktor dominan yang menentukan arah tuju politik negara didominasi oleh parti itu.

Menurutnya, sehingga 30 September lalu, bilangan pengisian di pentadbiran kerajaan negeri termasuk badan-badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah seramai 7,092 orang.

''Daripada jumlah itu, peratusan pengisian bagi kaum Melayu adalah sebanyak 81.95 peratus atau 5,812 orang, kaum India (12.92 peratus atau 916 orang), kaum Cina (5.05 peratus atau 358 orang) dan lain-lain bangsa sebanyak 0.08 peratus atau enam orang," katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN