|
MELAKA 13 Nov. - Biarpun memiliki rupa paras berbeza, lima beradik kembar tidak seiras tetap berkongsi kepintaran.
Ini terbukti apabila tiga daripada mereka berjaya mencapai kejayaan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang keputusannya diumumkan semalam.
Alya Zulaikha Nuradlan, Muhammad Azfar Nuradlan dan Muhammad Azhar Nuradlan masing-masing berumur 12 tahun berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Dua lagi adik-beradik kembar berkenaan iaitu Muhammad Azzam Nuradlan dan Alya Su'aidah Nuradlan pula mendapat 4A, 1B dalam peperiksaan tersebut.
Menurut Alya Zulaikha, mereka lebih gemar belajar secara bersendirian daripada belajar secara berkumpulan walaupun kelima-lima mereka merupakan adik-beradik kembar.
''Cuma apabila ada perkara tidak faham, baru kami rujuk antara satu sama lain," katanya ketika ditemui selepas menerima slip keputusan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang di sini hari ini.
Alya Zulaikha dan dua lagi adik kembarnya, Muhammad Azfar dan Muhammad Azhar adalah antara 56 murid SK Jalan Datuk Palembang di sini yang memperoleh keputusan cemerlang 5A.
Bagi Muhammad Azfar, dia sama sekali tidak menyangka akan memperoleh 5A.
''Saya tidak yakin akan mendapat A dalam Bahasa Melayu (Pemahaman) kerana tidak cukup masa ketika menjawab kertas ini.
''Lagipun, banyak soalan yang saya teka saja jawapannya'' katanya.
Ibu kepada lima beradik kembar itu, Siti Zainab Omar, 45, berkata, cabaran paling besar yang dihadapi dalam mendidik kelima-lima anak kembarnya itu ialah perwatakan mereka yang berbeza.
''Zulaikha lebih suka membaca buku, Azfar pula lebih aktif manakala Azzam seorang yang pendiam.
''Disebabkan ini, saya perlu menggunakan pendekatan berlainan dalam mendidik mereka," katanya.
Dalam pada itu, SK Jalan Datuk Palembang turut melahirkan satu lagi pasangan kembar yang memperoleh 5A iaitu Naqiuddin Asyraf Kamaldin, 12, dan Nadilah Atirah Kamaldin, 12.
Menurut Naqiuddin Asyraf, kejayaan bersama adik kembarnya itu memperoleh 5A adalah hasil sikap tolong-menolong yang diamalkan mereka selama ini.
''Saya lemah subjek Matematik tetapi pandai dalam subjek Bahasa Melayu manakala Nadilah Atirah sebaliknya.
''Saya meminta bantuan Nadilah Atirah untuk membantu saya dalam subjek Matematik manakala saya membantu dia dalam subjek Bahasa Melayu," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|