|
TINDAKAN NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini, yang mengeluarkan fatwa mengharamkan perlakuan ‘pengkid’ atau wanita yang menyamai lelaki; bagi saya adalah satu tindakan yang tidak wajar.
Sebagai seorang wanita Islam saya terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap isu ini.
Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak harus ditentang kerana ia melibatkan isu hukum hakam Islam yang jelas, oleh itu saya menyifatkan tindakan golongan ini mengadakan demonstrasi adalah sekadar mahu mencabar kewibawaan institusi Islam itu sendiri.
Semua haruslah jelas bahawa satu-satu fatwa dikeluarkan adalah untuk kemaslahatan umat Islam sahaja, oleh itu tidak wajar orang bukan Islam memberikan pandangan mereka membantah fatwa tersebut dalam keadaan mereka tidak terbabit dalam urusan fatwa tersebut.
Bukan setakat itu sahaja, setiap kenyataan mereka yang menentang fatwa ini seolah-olah menonjolkan ketidakfahaman mereka mengenai fatwa yang dikeluarkan dan lebih zalim lagi menonjolkan ketidakfahaman mereka terhadap agama Islam itu sendiri.
Buat umat Islam yang tergolong dari kalangan yang menentang fatwa ini haruslah diingat bahawa mereka mesti menerima fatwa yang dikeluarkan kerana ia memang bertepatan dengan syariat.
Saya mengesyorkan agar pihak Jakim dan yang berkaitan dapat lebih mengukuhkan kewibawaan institusi agama agar tidak dipertikaikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak dan individu yang tidak bertanggungjawab. Malah, pengeluaran fatwa oleh institusi fatwa kebangsaan juga perlu diterangkan lebih jelas kepada semua pihak.
NUR FARIZA ZAHRIN
Universiti Malaya
IKLAN@UTUSAN
|