Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BICARA AGAMA

ARKIB : 06/11/2008
Persekitaran dorong Samad Cheam dekati Islam

Persekitaran dorong Samad Cheam dekati Islam

DI zaman kanak-kanak beliau gemar bergaul dengan masyarakat Melayu. Malah, rakan-rakannya juga terdiri daripada orang Melayu yang sering memberi salam bila mereka bermain dan bertembung.

Sebenarnya, insiden ini, kata Cheam Aik Pheng atau nama Islamnya, Abdul Samad Cheam Abdullah, 49, berlaku sebelum beliau mengucap dua kalimah syahadah ketika bapanya, Chem Robert Choon yang berkhidmat sebagai anggota polis, bersama ibu, Teh Lim Sim dan adik-beradik lain menetap di kuarters Balai Polis Kulim, Kedah sekitar tahun 1970.

Kebanyakan pegawai dan anggota polis yang tinggal di kuarter ini terdiri daripada masyarakat Melayu dan hubungan itu menjadi akrab di antara satu sama lain.

Bagi Samad walaupun ketika itu beliau dan ahli keluarganya berbangsa Cina tetapi tidak pernah disisihkan. Malah hubungan baik antara ahli keluarganya terjalin erat seperti adik-beradik di kalangan pegawai dan anggota polis di balai ini.

Hubungan yang akrab itu benar-benar memberi hidayah dan ukhuwah kepada anak jati kelahiran Kedah ini. Namun, akui Samad, peristiwa cintanya pada Islam juga berputik dan bermula di balai ini.

Titik tolak itu rupa-rupanya mengandungi hikmah yang terungkai setelah diri bergelar muslim hampir 25 tahun. Sehingga mendorong minatnya untuk menjadi anggota polis pada usia 18 tahun apabila melihat kesegakan dan ketegasan pegawai dan anggota polis lebih-lebih lagi bapanya.

“Saya tidak menjangka, sungguhpun rasa seperti terasing di balai ini kerana berbangsa Cina. Mungkin kerana keakraban bapa dan ahli keluarga dengan pegawai dan anggota masyarakat Melayu di sini menguatkan silaturahim di kalangan kami.

“Jadi apabila tinggal di sini ia banyak mengajar saya tentang erti persefahaman antara kaum. Hinggakan kalau yang memberi salam, saya sekadar membalasnya dengan senyuman kerana memahami yang mereka tidak tahu yang saya berbangsa cina pada waktu itu,” jelasnya.

Bagi Samad, hubungan yang terjalin antaranya dan rakan-rakan Melayu turut menguatkan diri beliau mendekati dan memahami ajaran Islam.

Katanya, agama Islam, bukanlah terlalu asing. Ini kerana sebelum ini, beliau mempunyai keluarga angkat di balai tersebut.

Pada masa itu, ibu bapanya tidak menghalang beliau bergaul dengan masyarakat Melayu sejak usia dua tahun hinggalah tamat tingkatan lima.

“Sayangnya pada masa itu ibu angkat, rakan-rakan tidak pernah menjelaskan tentang Islam kepada saya, apa lagi untuk mengajak saya menerima agama Islam.

“Namun, sepanjang bergaul dengan mereka, sedikit sebanyak mendedahkan saya kepada cara hidup dan pengamalan ajaran Islam melalui hubungan yang baik dengan rakan-rakan di kuarters ini,” jelasnya dalam pertemuan dengan Mega di rumahnya, baru-baru ini.

Menurut Samad, kuarters itu turut mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak kerana sering mengikuti program anjuran badan kebajikan polis.

“Boleh dikatakan saya mengikuti apa sahaja program di sini termasuk marhaban, majlis berbuka puasa dan solat tarawih, pertandingan nasyid dan sebagainya.

“Walaupun ketika itu saya dan ahli keluarga berbangsa Cina, tetapi bapa saya menggalakkan saya untuk mengikuti program itu, sehinggakan saya juga sering mengikut rakan-rakan melayu mengaji al-Quran walaupun saya bukan beragama Islam ketika itu sehingga meningkat dewasa,” katanya.

Tambah anak kelima daripada 11 adik-beradik ini, selepas tamat tingkatan tiga, beliau kemudian memohon menjadi anggota polis atas nasihat dan dorongan bapanya.

Jelasnya, hasrat dan impian bapanya untuk melihat dirinya menjadi anggota polis akhirnya berjaya dipanggil temuduga.

Latihan yang dijalankan menguji ketahanan diri, namun, selepas beberapa bulan di pusat latihan tersebut, hati Samad masih berpegang teguh untuk mendalami ajaran Islam.

Malah ketika berada di pusat latihan itu, beliau turut menghabiskan masa dan aktiviti riadah sama-sama rakan Melayu. Yang menjadi kekecewaan adalah apabila tidak dapat bersama dengan mereka menunaikan solat lima waktu di surau berhampiran.

Dari situ terdetik di hatinya untuk mendalami ajaran Islam. Hasratnya itu disampaikan kepada pegawai di Bahagian Hal Ehwal Agama di kem tersebut. Selang beberapa minggu, selepas menerima nasihat dan pandangan akhirnya beliau mengucap dua kalimah syahadah pada tahun 1982 di Kem Latihan Polis di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pengislaman Samad kemudian dimaklumkan kepada ahli keluarganya menerusi telefon beberapa hari selepas bergelar muslim.

Samad bersyukur dengan sikap terbuka keluarga terutama bapanya yang berpendirian, jika itulah yang difikirkan terbaik bagi diri beliau, maka mereka tiada halangan.

“Mula-mula, terlintas juga rasa takut jika keputusan saya itu menimbulkan kemarahan keluarga,” kata beliau.

Menurut Samad, pengislamannya membawa banyak perubahan positif dalam hidup.

“Alhamdulillah, rezeki semakin bertambah, hubungan dengan keluarga dan adik-beradik kandung semakin rapat. Paling terasa ialah ketenangan jiwa serta kehidupan ini lebih berhala tuju,” jelasnya.

Hasil perkahwinannya dengan Sumiah Mistan, 50, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki dan tiga perempuan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN