Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 28/10/2008
Shahrir tiada hasrat lapor Lembaga Disiplin

Shahrir tiada hasrat lapor Lembaga Disiplin

JOHOR BAHRU 27 Okt. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad tidak berhasrat melaporkan mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan politik yang didakwa diterimanya kepada Lembaga Disiplin memandangkan beliau telah memberi jawapan menerusi 'tindakan politik'.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, pihak yang cuba mempengaruhi keputusan menerusi ugutan itu hanya melakukan perkara sia-sia kerana pemimpin tertentu itu kehilangan sokongan pencalonan daripada bahagiannya.

"Kita telah pun membuat keputusan melalui mesyuarat bahagian untuk menolak sama sekali ugutan itu.

"Saya rasa tidak payah buat aduan kepada pihak yang terlibat. Dia (pemimpin terbabit) telah pun kehilangan sokongan bahagian dari segi pencalonan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Shahrir menyelar tindakan pihak tertentu berkempen menggunakan SMS berbaur ugutan bertujuan memastikan pencalonan berpihak kepada pemimpin tertentu untuk jawatan tertinggi dalam parti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, beliau juga tidak akan membuat laporan polis kerana motif SMS tersebut dihantar adalah didorong unsur politik.

Shahrir berkata, pihak yang menghantar SMS itu perlu menerima hakikat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

"Perkara ini tidak patutnya berlaku dan mereka yang melakukannya kena terima padahnya," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak mengetahui sama ada bahagian-bahagian UMNO lain di seluruh negara menerima SMS yang sama, namun mengesahkan beberapa individu lain di UMNO Bahagian Johor Bahru turut menerima SMS itu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN