|
PULAU PINANG 27 Okt. - UMNO Bahagian Tanjung hari ini mempersoalkan niat sebenar kerajaan negeri membenarkan pemasangan papan tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi tujuan warisan di jalan-jalan di Georgetown.
Timbalan Ketuanya, Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, DAP sememangnya sejak dahulu sudah mengetengahkan isu bahasa, jadi kini menjadi persoalan sama ada pemasangan papan tanda jalan itu benar-benar untuk tujuan pelancongan dan bukannya politik.
Tambahnya, usaha terbaru itu juga jelas menunjukkan sikap kerajaan negeri yang hanya tahu membangkitkan isu-isu remeh untuk mengambil hati kaum-kaum tertentu di negeri ini.
Katanya, sejak mula mentadbir Pulau Pinang hingga hari ini, mereka hanya bangkitkan perkara-perkara yang remeh dan tidak pula membentangkan idea-idea hendak membantu rakyat.
''Jika sebab pelancongan pun memang tidak boleh terima kerana pelancong datang negeri ini untuk mengenali keunikan negara kita bukannya hendak tahu pasal jalan.
''Lagi pula bahasa bukan isu kepada mereka kerana bahasa Melayu menggunakan abjad-abjad Roman dan itu sesiapa pun tahu baca, jadi papan tanda jalan bukan satu masalah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, pelancong juga tidak tinggal lama di negara ini dan apabila ke sini mereka mempunyai peta, pemandu pelancong dan masyarakat majmuk negara ini juga mesra dan sentiasa suka membantu.
''DAP ini sejak dulu lagi agenda utama mereka adalah mengacau keharmonian kaum di negara ini, jadi rakyat perlu buka mata dan jangan biarkan mereka ini berbuat sedemikian.
''Cukup-cukuplah, jangan hendak terus menunjukkan sifat-sifat perkauman mereka hingga nama jalan pun hendak digunakan pelbagai bahasa, hormatilah bahasa Kebangsaan kita," tegasnya.
Pada 24 Oktober lalu, kerajaan negeri mengumumkan telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memasang papan tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan tapak warisan di Georgetown sahaja.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung, Jeffri Salim memberitahu, mereka akan mengadakan bantahan sekali gus meminta papan tanda itu diturunkan jika ia dilaksanakan kelak.
''Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan telah pun termaktub dalam perlembagaan negara ini, jadi pemasangan papan tanda jalan dengan pelbagai bahasa tidak perlu dilaksanakan.
''Sebagai rakyat negara ini, kita sepatutnya berbangga dengan bahasa Kebangsaan dan usaha memperkasakan bahasa Melayu ini perlu dilakukan semua rakyat negara ini tidak kira kaum," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|