|
KUALA LUMPUR 26 Okt. – Calon Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menyahut cabaran seorang lagi calon bagi jawatan itu, Khairy Jamaluddin untuk berdebat bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.
Katanya, debat sebegitu merupakan cadangan yang baik memandangkan setiap calon berupaya menyampaikan buah fikiran masing-masing untuk dinilai masyarakat.
Dengan yakin, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau sering menganjurkan sesi soal jawab dengan para perwakilan dari seluruh negara pada setiap perjumpaan dengan mereka.
‘‘Dengan kekerapan bertemu dan menjelaskan prinsip perjuangan saya, ahli-ahli akar umbi berpeluang mengetahui prinsip dan wawasan saya.
‘‘Jadi jika diajak berdebat, ia bukanlah suatu masalah bagi saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika mengulas cadangan Khairy semalam, yang mengajak calon-calon Ketua Pemuda UMNO supaya berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.
Jika dilaksanakan, Mohamad Khir memberitahu, tema debat itu haruslah berkisar pada perjuangan agama dan bangsa yang menjadi intipati perjuangan UMNO.
IKLAN@UTUSAN
|