Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 22/10/2008
84,581 peneroka terima bonus RM144j

84,581 peneroka terima bonus RM144j


Najib Tun Razak bersalaman dengan kakitangan Felda pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Felda di Dewan Merak Kayangan, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Mohd. Yusof Noor (kiri).
- Bernama


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Seramai 84,581 peneroka di seluruh negara akan menerima Bonus Insentif Produktiviti berjumlah RM144.44 juta daripada Felda, Disember depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar bonus yang dibayar secara tunai kepada peneroka berkenaan adalah antara minimum RM700 dan maksimum RM2,000 bergantung pada jumlah penghantaran hasil.

''Bonus ini adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil kepada Felda,'' katanya yang juga menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Felda di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Najib menjelaskan, peneroka yang menerima bonus maksimum ialah seramai 59,924 orang atau 53.2 peratus dan penerima kadar minimum pula ialah seramai 7,283 orang atau 6.74 peratus.

''Meskipun jumlah ini berkurangan berbanding tahun lalu iaitu seramai 90,322 orang atau sebanyak RM146.39 juta, namun jumlah bayaran insentif kepada peneroka yang memperoleh hasil maksimum meningkat daripada RM1,800 kepada RM2,000,'' katanya.

Bagaimanapun, jelas Najib, seramai 28,055 peneroka atau 24.9 peratus didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda atau hasil kurang daripada penghasilan minimum yang ditetapkan.

Tambah beliau, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka juga tidak akan dibayar insentif itu.

''Pada tahun ini, peneroka yang terlibat akan menerima bayaran secara tunai di pejabat rancangan dan tiada bayaran dalam bentuk Sijil Saham Koperasi Permodalan Felda,'' katanya.

Kata beliau, peningkatan kadar bonus tahun ini disebabkan oleh harga komoditi sawit dan getah yang baik di samping luas kawasan berhasil di kawasan tanam semula yang semakin meningkat terutama pada enam bulan pertama.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan akan memastikan peneroka yang bersama-sama dengan Felda menerima pendapatan minimum di paras RM1,000 walaupun nilai komoditi getah dan kelapa sawit jatuh.

Kata beliau, kerajaan akan memastikan jumlah itu tetap diterima setiap peneroka yang bersama dengan Felda walaupun penurunan berterusan getah dan kelapa sawit pasti akan memberikan impak kepada pendapatan peneroka.

''Kerajaan memandang berat kesannya (penurunan berterusan harga getah dan kelapa sawit),'' katanya.

Jelas Najib, harga minyak sawit mentah (msm) kini di paras RM1,700 setan dan getah di paras RM5.60 sekilogram berbanding harga tertinggi tahun ini yang dicatatkan pada Mac iaitu RM4,486 setan (msm) dan RM10.22 sekilogram (getah).

Katanya, walaupun harga minyak sawit mengalami trend penurunan pada masa ini, kerajaan percaya keadaan itu menjadi lebih baik pada masa hadapan dengan bahan itu akan berterusan menjadi komoditi yang menguntungkan.

Beliau turut mengajak semua peneroka untuk bersama menyertai program Felda terutama di dalam krisis ekonomi global dan ketidaktentuan harga pasaran komoditi sawit dan getah yang melanda dunia sekarang.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN