Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KOTA

ARKIB : 21/10/2008
Pejabat poslama Banting bakal dirobohkan

Pejabat poslama Banting bakal dirobohkan

BANTING Pos Malaysia Bhd. akan merobohkan bangunan pejabat pos lama di bandar ini tidak lama lagi kerana penilaian yang dilakukan mendapati struktur bangunan itu sudah tidak selamat untuk digunakan.

Ketua Kumpulan, Bahagian Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Datin Rohaiza Hashim berkata, pihaknya kini hanya menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa untuk memulakan kerja meruntuhkan bangunan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, beliau berkata, tindakan itu juga diambil demi keselamatan penduduk sekitar dan mengelak daripada berlakunya kegiatan tidak sihat di dalam bangunan tersebut.

"Di Banting, terdapat sebuah pejabat pos yang menggantikan pejabat pos yang lama itu. Ia terletak satu kilometer dari pejabat pos lama dan telah beroperasi sejak tahun 2001," katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai bangunan pejabat pos lama di bandar ini yang terbiar dan menjadi tempat individu tertentu bermalam.

Merancang

Rohaiza berkata, selain pejabat pos baru itu, terdapat juga Pejabat Pos Mini Olak Lempit dan Kampung Tongkah di kawasan tersebut dan Pos Malaysia merancang untuk membina sebuah lagi pejabat pos untuk penduduk Banting tahun hadapan.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Shahrul Nizam Khalil berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Pos Malaysia untuk diambil tindakan.

"Ini adalah isu yang telah lama cuba kami selesaikan... tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana bangunan berkenaan adalah milik Pos Malaysia," katanya ketika ditemui di sini.

Jelasnya lagi, bangunan berkenaan merupakan harta Pos Malaysia dan agensi itu sahaja yang mempunyai kuasa untuk melupuskannya.

Mengenai kemungkinan bangunan berkenaan dibaik pulih kerana reka bentuknya yang unik dan mempunyai nilai sejarah, Shahrul Nizam berkata, ia tidak dapat dilakukan.

"Idea itu pernah difikirkan tetapi setelah kami membuat pertimbangan ia terpaksa diketepikan. Ini kerana bangunan berkenaan terletak di tempat yang tidak sesuai dan risiko untuk berlaku kemalangan di situ agak tinggi," jelasnya.

Menurutnya, MDKL bercadang untuk memperindahkan kawasan itu dan menjadikannya kawasan yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai apabila bangunan itu diruntuhkan kelak.

"MDKL bercadang membuat landskap di situ atau menjadikannya kawasan meletak kenderaan bagi kegunaan masyarakat Banting," jelasnya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN