|
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Tidak berlaku pengaliran keluar besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) walaupun berlaku krisis kewangan global, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.
Beliau berkata, FDI yang keluar lebih kepada dana portfolio jangka pendek yang kebiasaannya bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
"Kita masih menerima FDI," katanya pada sidang media sempena Forum Perniagaan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA)-Bursa Malaysia 2008.
Ditanya sama ada Khazanah Nasional Bhd., cabang pelaburan kerajaan, akan membeli aset-aset di bawah nilai, Amirsham berkata: "Kita serahkan kepada pasaran. Kita tidak akan campur tangan dari segi keputusan pelaburan institusi-institusi seperti KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan PNB (Permodalan Nasional Bhd).
"Ia diurus secara profesional dan boleh menghidu peluang-peluang dan merebutnya bila penilaiannya tepat," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan pakej-pakej bagi memastikan pasaran saham terus menarik, selain mengetengahkan peluang-peluang untuk pelabur.
"Walaupun mungkin berlaku penyusutan nilai dari segi pasaran saham, tidak ada sebab untuk panik memandangkan sistem perbankan cukup kukuh bagi menampung krisis kewangan semasa," katanya.
Amirsham berkata, terdapat pelbagai mekanisme untuk memastikan kestabilan dalam sistem mudah tunai dan bank-bank terus memberi kredit dan pinjaman wang.
"Tumpuan ialah memastikan kredit mencukupi untuk perusahaan kecil dan sederhana," kata bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd., kumpulan perbankan terbesar Malaysia.
Mengenai unjuran ekonomi tahun depan, Amirsham berkata, walaupun penurunan dijangka berlaku dari segi eksport, perbelanjaan domestik akan terus kukuh.
"Kita menjangkakan berlaku penurunan. Kita ada proses belanjawan bagi memastikan perbelanjaan domestik dan pelaburan untuk merangsang ekonomi," katanya.
Selain itu, ada pelbagai pelan kontingensi jika berlaku pembuangan pekerja, katanya.
"Kita menjangkakan sebahagian pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura akan diberhentikan memandangkan republik itu kini menghadapi kemelesetan teknikal.
"Pembiayaan akan dibuat bagi memastikan tenaga kerja mempelajari kemahiran baru dan diserap dalam ekonomi.
"Jaringan keselamatan sosial juga akan digunakan secara meluas bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah," katanya.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|