Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 11/10/2008
Muhyiddin tawar tanding timbalan

Muhyiddin tawar tanding timbalan


Muhyiddin Yassin mengumumkan akan bertanding Timbalan Presiden UMNO Mac tahun depan pada sidang media di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 10 Okt. - Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru pagi ini tampil menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO menerima suntikan semangat apabila menerima dua pencalonan daripada UMNO Bahagian Kimanis dan Machang yang bersidang hari ini.

Dua bahagian itu yang membuka tirai persidangan 191 bahagian UMNO yang dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga 9 November turut mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac 2009.

Ketika mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dan para penyokongnya di sini, Muhyiddin berkata, beliau tampil kerana yakin dapat membantu Najib memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti itu.

Menurut beliau, Najib memerlukan barisan kepimpinan yang teguh dan bersatu dalam mendepani cabaran semasa.

Beliau memberitahu, perkara paling utama yang akan menjadi tumpuannya adalah untuk membaik pulih, menyatukan parti serta membina arah dan harapan baru agar dapat mengembalikan sokongan bangsa Melayu dan rakyat kepada UMNO dan BN.

"Setelah mengambil kira perkembangan terbaru serta pandangan daripada pelbagai peringkat kepimpinan parti dan akar umbi, hari ini saya dengan rasa penuh insaf dan rendah diri mengumumkan bahawa saya menawarkan diri untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Presiden UMNO.

"Saya yakin dapat memainkan peranan bersama dengan bakal Presiden UMNO dalam usaha meningkatkan kembali perpaduan kaum, mengeratkan hubungan kerjasama di antara parti komponen BN dengan mengambil kira kehendak masa kini agar kita lebih mantap dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.

Pengumuman Muhyiddin itu menyusul sehari selepas Najib mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden UMNO.

Selain Muhyiddin, dua lagi pemimpin yang mengumumkan hasrat bersaing jawatan nombor dua parti itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Seorang lagi yang turut berbuat demikian ialah Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bakal calon Timbalan Presiden UMNO memerlukan sokongan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 38 bahagian.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yakin berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang diperoleh daripada pelbagai peringkat kepimpinan parti, kementerian dan pentadbiran kerajaan, beliau mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu mengukuhkan kembali kerajaan khususnya untuk menangani cabaran ekonomi dalaman dan global.

Muhyiddin, bagaimanapun, tidak mahu menyatakan beliau bertanding atas 'satu tiket' dengan Najib pada pemilihan parti kali ini.

Menurutnya, keputusan beliau untuk menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO telah dimaklumkan kepada Najib.

Beliau percaya peluangnya untuk memenangi jawatan nombor dua itu sangat baik dan beliau berupaya memperoleh pencalonan yang mencukupi hasil sokongan para perwakilan di bahagian-bahagian UMNO dan ahli-ahli parti.

"Saya percaya keputusan ini akan dapat memanfaatkan kerjasama yang lebih utuh dalam usaha memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan mempertahankan kesucian agama kita.

"Saya ingin memohon kepada semua ahli parti daripada pelbagai peringkat untuk bersama-sama mengambil peluang ini bagi merapatkan barisan demi meneruskan kesinambungan kegemilangan parti kesayangan kita ini," katanya.

Mengenai pandangannya terhadap Najib, Muhyiddin memberitahu, beliau tiada sebarang masalah untuk bekerja dengan bakal Presiden UMNO itu kerana mereka telah mempunyai hubungan kerja yang panjang sama ada dalam parti atau kerajaan.

Ditanya adakah beliau akan terus bersikap lantang dalam melontarkan pandangannya, Muhyiddin menegaskan, beliau akan mengambil sikap sebagai orang nombor dua dalam parti dan tidak sekali-kali boleh dilihat sama taraf dengan Presiden dalam apa juga isu.

Ini termasuk dalam melaksanakan pelbagai bentuk reformasi dalam kerajaan dan parti.

"Saya akan berkongsi dan mempunyai hubungan yang rapat dengan bakal Presiden. Kalau ada keputusan-keputusan politik, kita bincang dan saya akan ambil kedudukan itu (sebagai orang nombor dua).

"Yang penting kita perlu dilihat bekerja bersama dan mempunyai pendirian yang teguh dalam banyak isu. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mengembalikan semula kepercayaan keseluruhan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan Nur Jazlan, juga dari Johor yang turut menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin berkata: "Saya tidak fikir sokongan akan berpecah."

Ditanya mengenai perbezaan beliau dengan calon-calon Timbalan Presiden UMNO yang lain, sambil tersenyum beliau menjawab: "Saya ialah Muhyiddin Yassin."

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN