VERSI : Mobile | Akhbar Digital
29 Julai 2014 / 2 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 10/10/2008

Memelihara adab Aidilfitri

Bulan Syawal merupakan perayaan umat Islam yang disambut di seluruh dunia setelah mengharungi dugaan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Ia juga dianggap sebagai simbol kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah SWT bagi meraikan kemenangan mengawal segala bentuk hawa nafsu yang banyak menjurus keburukan. Di sebalik pelbagai hikmah, perayaan itu juga sebenarnya mengajak kita semua agar senantiasa bersyukur kerana masih mampu menikmati ajaran Islam yang sarat dengan segala kebaikan kepada manusia.

Sebagai seorang hamba-Nya sewajarnya kita meraikan anugerah perayaan terbesar umat Islam ini dengan adab-adab perayaan yang berlandaskan Islam sebagai satu cara hidup pada setiap masa dan ketika.

Disebabkan agama adalah asas kepada kebaikan budi pekerti yang baik maka pada hari lebaran itu nanti seharusnya kita menjaga adab-adab perayaan terutama ketika bersama-sama dengan orang lain. Tidak manis andainya kesucian Syawal dipenuhi dengan segala tingkah laku yang menggambarkan kita umpama umat yang tidak bertamadun dan bersikap melampaui adab-adab berhari raya.

Sememangnya kita berhak dan patut berasa gembira kerana berjaya melepasi ujian pada bulan Ramadan, tetapi kegembiraan itu haruslah disulami dengan keindahan peribadi yang baik lagi terpuji. Selain ia membentuk disiplin diri ke arah mewujudkan suasana yang harmoni perayaan itu nanti juga merupakan saat-saat berharga bagi mewujudkan hubungan kekeluargaan yang lebih erat ketika bertemu dalam majlis ziarah.

Adab berhari raya bukanlah halangan untuk kita terus bergembira tanpa batasan bahkan mengawal agar terus mengamalkan perilaku yang sentiasa berteraskan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Di samping meraikan perayaan tersebut kita juga sentiasa diingatkan agar terus menjaga hubungan sesama manusia untuk meraih kebaikan demi kesucian ajaran Islam. Usahlah dicemari hari lebaran ini kegiatan yang terpesong daripada landasan agama Islam dan mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.

Lihat sahaja amal ibadat sempena perayaan Aidilfitri seperti membayar zakat fitrah, bersedekah, solat sunat Aidilfitri, mendengar khutbah hari raya, bermaaf-maafan, bersalaman, selain daripada mengalunkan takbir hari raya dengan penuh perasaan disertakan dengan pelbagai hidangan bagi menjamu selera kepada para tetamu. Pastinya hari raya tidak akan meriah dan bermakna jika kita tidak memenuhi amalan-amalan perayaan yang bertepatan dengan syariat Islam.

Allah SWT telah berfirman maksudnya: "Dan sempurnakanlah ibadat puasa kamu mengikut bilangan hari dalam Ramadan (29 atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185).

Dalam ayat tersebut Allah SWT menerangkan bahawa objektif ibadat puasa itu tidak lain dan tidak bukan agar kita sentiasa mensyukuri nikmat yang tidak terhitung oleh kita semua. Manakala di dalam ayat yang lain pula kita diseru agar menjaga adab untuk makan dan minum agar tidak melakukan sebarang bentuk pembaziran kerana ia adalah sifat yang sangat dibenci oleh Allah. Firman-Nya, "...makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan". (al-A'raf: 31).

Sudah tentunya umat Islam di Malaysia tidak ketinggalan menyambut Hari Raya ini dengan amalan tradisi dengan mengadakan rumah terbuka kepada para tetamu jemputan. Ia dimeriahkan lagi dengan menghidangkan pelbagai juadah makanan dan tidak kurang juga menghulurkan 'duit raya' kepada tetamu atau pun kanak-kanak.

Keharmonian sebegini alangkah baiknya jika dapat diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan dalam masa yang sama kita akan melupakan segala kesalahan orang lain, meraikan tetamu, tiada sedetik rasa sombong di dalam hati, saling bertegur sapa dan bertanya khabar, baik dekat mahu pun yang jauh.

Antara ajaran Islam yang sangat mudah untuk dilaksanakan tetapi kadang kala ia menjadi tabiat yang sukar untuk menunjukkan rasa kasih sayang kepada manusia ialah dengan mengucapkan salam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga sayang menyayangi antara kamu. Apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu." (Hadis Riwayat Muslim).

Manakala dalam Surah Al-Hujuraat ayat 10 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Persoalannya mengapakah sifat persaudaraan itu menjadi keutamaan sedangkan manusia secara umumnya mempunyai pelbagai kepentingan dan perilaku yang berbeza antara satu sama lain? Dalam masa yang sama kita juga disarankan agar menjauhi sebarang kegiatan yang boleh menerbitkan api kebencian serta permusuhan dalam apa jua keadaan.

Jawapannya mudah iaitu agar kita sentiasa dapat menikmati saat kehidupan yang harmoni sifatnya, hati menjadi lebih tenang, pemikiran juga akan menjadi matang seterusnya mampu menghasilkan produktiviti yang berkualiti. Kehidupan berkualiti tidaklah hanya menumpukan dalam soal-soal ibadat semata-mata bahkan perlu dijadikan amalan hidup dalam pelbagai bidang membawa kemajuan umat Islam khususnya.

Meraikan

Di samping kita meraikan dengan amalan yang bertepatan maka janganlah dicemari kesucian hari raya dengan perbuatan yang melanggari batas-batas syarak. Kemungkinan di kalangan kita mempunyai hasrat untuk menjemput rakan taulan, jiran, saudara mara dan tetamu istimewa dengan mengadakan rumah terbuka.

Sebagai contohnya, jika kita sebagai tuan rumah janganlah hendaknya menghidangkan hiburan yang melampaui batas kepada para tetamu sehingga melalaikan urusan fardu yang lain. Dilarang juga aktiviti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, memperagakan pakaian yang menjolok mata serta mendedahkan aurat.

Hidangan kepada tetamu juga mestilah mengikut panduan Islam dengan menyediakan hidangan atau juadah yang halal, mengelakkan melakukan pembaziran ketika mengadakan rumah terbuka dan tidak wajar mengasingkan antara golongan kaya dan meminggirkan golongan miskin. Hiaskanlah wajah dengan senyuman ikhlas lagi menawan agar tetamu yang hadir merasa disambut dengan penuh sopan.

Perayaan juga bukanlah alasan untuk kita mengabaikan kewajipan solat lima waktu. Di sebalik kesediaan kita menerima para tetamu janganlah hendaknya menjadikan alasan tidak sempat lagi untuk bersolat akibat terlalu sibuk dan gembira melayan jemputan yang tidak putus tiba. Betapa ruginya hari kemenangan ini menjadikan kita lalai daripada ibadat fardu semata-mata kerana menganjurkan acara rumah terbuka, ingatlah bahawa solat itu tiang agama.

Berkunjung dan membalas ziarah ke rumah orang lain menjadi aktiviti yang sangat digalakkan. Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa adanya acara ziarah menziarahi ke rumah-rumah kenalan mahupun saudara mara. Adab yang utama ketika menikmati keenakan makanan bersama-sama orang lain agar golongan yang muda hendaklah mendahulukan orang tua.

Sebaik-baiknya jangan berdiam diri sahaja kerana begitu asyik menikmati hidangan yang pelbagai rasa. Wujudkan situasi eratnya hubungan sesama Muslim kerana ikhlas kepada Allah SWT. Dibolehkan untuk berbual-bual dan bercakap perkara-perkara yang menggembirakan dan bermakna. Saling mempelawa atau menjemput tetamu lain menikmati juadah dan berbicara agar nampak mesra dan tiada beza.

Ingatlah bahawa sebagai tetamu kita juga perlu menjaga batasan peribadi diri, menghormati dan menghargai kesediaan tuan rumah menyambut kehadiran kita.

Akhlak terpuji menjadi intipati utama ketika meraikan perayaan Aidilfitri. Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita dan pernah bersabda yang bermaksud "Takutlah kepada Allah SWT di mana sahaja engkau berada dan ikutlah suatu keburukan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan tadi, juga bergaullah dengan seluruh manusia dengan budi pekerti yang bagus." (Hadis riwayat Tarmizi).

Betapa pemurahnya anugerah Allah SWT kepada umat Islam kerana memberi limpahan rahmat yang tidak terhitung oleh kita serta kemurahan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang taat dan sentiasa ikhlas melaksanakan syariat Islam meskipun ketika saat meraikan Syawal sebagai bulan kemenangan untuk seluruh umat Islam. Hiaskanlah hari perayaan ini dengan adab yang bertepatan dengan ajaran Islam.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:23
Asar 4:44
Maghrib 7:30
Isyak 8:43

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.