|
![]() |
|
Ekin dan mawi |
BALIK daripada bercuti sempena raya baru-baru ini, banyak pula cerita pasal dunia hiburan yang sampai ke telinga Papa.
Antara cerita panas yang menarik perhatian Papa ialah berita perkahwinan artis lelaki popular tanah air, siapa lagi kalau bukan Mawi.
Khabarnya, anak muda yang bakal mengahwini kekasihnya, Ekin itu akan mengadakan sidang media pada 21 Oktober ini untuk menjawab segala persoalan mengenai perkahwinannya.
Papa diberitahu oleh sumber yang rapat dengan Mawi, pada sidang media itu, Mawi akan mengumumkan tarikh pernikahannya yang khabarnya bakal dilangsungkan lebih awal berbanding bulan Disember seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini.
Kalau tak silap Papa, Mawi dan Ekin mahu mempercepatkan majlis perkahwinan mereka pada bulan depan.
Namun begitu, bukan soal tarikh perkahwinan yang menjadi perhatian Papa, sebaliknya, isu mengenai stesen mana yang bakal mendapat hak penyiaran perkahwinan Mawi.
Menurut sumber Papa, khabarnya sebuah stesen televisyen swasta sanggup menawarkan ganjaran antara RM5 juta hingga RM6 juta kepada Mawi jika stesen itu diberi hak penyiaran perkahwinannya.
"Itu harga yang ditawarkan kepada Mawi jika dia bersetuju untuk memberikan segala hak penyiaran bermula dengan majlis akad nikah sehingga ke majlis persandingannya.
"Bagaimanapun, kami difahamkan Mawi dan pihak pengurusannya lebih berminat untuk memberi hak penyiaran kepada stesen penyiaran Astro kerana dia mahu berbudi kepada stesen yang banyak membantu mempopularkannya. Namun begitu, berapa jumlah yang ditawarkan kepada Mawi tidak dapat disahkan," kata sumber industri televisyen kepada Papa.
Menurut sumber itu juga, buat masa sekarang, pihak produksi Astro sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat mengenai perancangan majlis perkahwinan Mawi dan Ekin.
"Dijangkakan, semua saluran Melayu Astro akan memberikan liputan meluas pada majlis perkahwinan itu nanti," jelas sumber itu lagi.
Beruntung sungguh anak muda bernama Mawi.
Sudahlah sering menang anugerah, masa kahwin nanti pun dapat ganjaran yang besar lagi.
Alahai Ekin pun apa kurangnya. Bertuah badan kerana disunting oleh lelaki muda kaya di Malaysia.
Papa sebenarnya dah tak sabar nak menunggu 21 Oktober ini kerana pada hari berkenaan Papa sudah tentu akan bertanyakan soalan-soalan panas buat Mawi.
Bersedia tau Mawi! Nantikan kemunculan Papa ke sidang media itu.
IKLAN@UTUSAN
|