|
PERISTIWA seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara dikaitkan dengan tekanan perasaan. Tekanan atau stres di kalangan anggota polis bukanlah sesuatu yang asing. Banyak buku dan kajian dilakukan membuktikan pekerjaan polis terdedah dengan elemen-elemen yang menyumbang kepada stres. Buku Managing Police Stress oleh Wayne D. Ford menceritakan isu berhubung kait dengan kehidupan kerjaya anggota polis yang mencakupi isu-isu sosial, fizikal, politik dan juga isu peribadi.
Buku ini merupakan pembuka mata kepada pembaca akan perjalanan suka duka pekerjaan seorang anggota polis. Ia juga menjadi sumber maklumat berguna kepada anggota polis serta ahli keluarga mereka. Cadangan cara menangani stres polis juga disediakan melalui modul-modul yang dipersembahkan secara sistematik dan menarik.
Ahli psikologi Hans Toch dalam bukunya Stress in Policing membicarakan mengenai cabaran, kesukaan dan kekecewaan dalam kerjaya seorang polis. Dalam bentuk temuramah, penulis membuktikan bahawa dalam usaha menjaga keselamatan negeri dan awam, anggota polis banyak menghadapi stres.
Bidang tugas kepolisan juga menjadi semakin pelbagai. Isu-isu berkaitan etnik dan gender boleh dikaitkan dengan punca stres. Buku ini juga mendapati, selain daripada masalah di jalanan, masalah pentadbiran juga menyumbang kepada tahap stres di kalangan anggota polis.
Di negara ini pula, banyak kajian yang telah dilakukan untuk mengenalpasti punca stres dan seterusnya membuat perancangan atau tindakan untuk mengurangkan atau mengatasi isu tekanan yang bertujuan meningkatkan motivasi dan prestasi kerja.
Kajian Adlin Ahmad (2000) melalui tesisnya yang bertajuk Tekanan Kerja Di Kalangan Pegawai Dan Penolong Pegawai Penyiasatan Yang Berumahtangga Di Jabatan Narkotik Dan Cawangan Trafik mengkaji dan mengenal pasti faktor yang mempengaruhi dan yang berkaitan dengan tekanan kerja di kalangan pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat di Jabatan Narkotik dan Cawangan Trafik di Kontijen Polis Kuala Lumpur.
Pemboleh ubah atau faktor yang dikatakan boleh menjadi penyebab kepada stres dalam kajian tersebut ialah persekitaran atau tempat kerja, ciri-ciri kerja, suasana di rumah, beban kerja dan agihan tugas.
Hasil kajian mendapati tekanan kerja mempunyai hubungkait yang tinggi dengan persekitaran kerja, ciri-ciri kerja, beban kerja dan suasana di rumah. Kajian tersebut juga mencadangkan agar pihak pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengkaji semula deskriptif kerja, memperbaiki kemudahan logistik dan syor pemberian elaun tertentu bagi mengurangkan masalah tekanan kerja yang boleh menjejaskan produktiviti organisasi di samping beberapa perancangan dan tindakan lain.
Kajian oleh Arjunaidi Mohamed melalui tesis sarjananya yang bertajuk Faktor demografi, persekitaran dan organisasi yang berkaitan dengan ketegangan telah mengkaji mengenai stres di kalangan polis di sebuah daerah.
la bertujuan mengenal pasti sama ada ketegangan mempunyai hubungan dengan faktor-faktor seperti demografi, persekitaran dan organisasi.
Pengkaji juga mendapati tahap ketegangan di kalangan pegawai polis di dalam kajiannya adalah rendah walaupun mereka mempunyai persepsi yang negatif terhadap beberapa angkubah lain yang mempunyai hubungan yang signifikan dengan ketegangan.
Faktor-faktor lain perlu juga diambil kira untuk kajian-kajian akan datang memandangkan kajian ini cuma mengkaji sebahagian sahaja daripada penyebab stres.
Antara kajian lain yang berkaitan dengan stres di kalangan anggota polis ialah kajian yang bertajuk Tekanan kerja: Punca, kesan dan daya tindak ke atas tekanan oleh Abd. Halim Othman, Muhammad Hj. Yusuf, Chua Bee Seok & Sapora Sipon dan kajian Tekanan Kerja, Tekanan Rumahtangga dan Komitmen Kerjaya di Kalangan Pegawai dan Anggota Wanita Polis Di Raja Malaysia (PDRM) oleh Rohany Nasir dan Nor Eda Nusi.
IKLAN@UTUSAN
|