Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KORPORAT

ARKIB : 06/10/2008
PNB tawar dana baru RM1 bilion?

PNB tawar dana baru RM1 bilion?

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dipercayai akan memperkenalkan satu lagi skim unit amanah berharga tetap melibatkan saiz dana berjumlah satu bilion unit atau RM1 bilion sebelum akhir tahun ini.

Firma pelaburan yang terbesar di Malaysia dan dianggap paling unik konsepnya di dunia, difahamkan sedang menunggu kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan skim itu juga akan dibuka kepada semua kaum di negara ini.

Penjualan unit amanah itu yang dipercayai harganya ditetapkan pada RM1.00 seunit seperti mana skim-skim harga tetap sebelum ini, akan ditawarkan berdasarkan kuota untuk membolehkan semua pihak berpeluang menikmatinya, demikian menurut sumber industri.

PNB kini mempunyai empat daripada lapan unit amanahnya yang ditawarkan pada harga tetap manakala bakinya pada harga berubah-ubah mengikut pasaran.

Produk-produk PNB adalah Amanah Saham Nasional (ASN), ASN 2, ASN 3 Imbang, Amanah Saham Gemilang (ASG), Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Wilayah 2020 (ASW), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham Didik (ASD).

Kata sumber itu, penggunaan kuota itu bertujuan memastikan semua kaum di negara ini mendapat agihan sama rata bagi langganan unit amanah terbaru tersebut.

Bagaimanapun, pelaksanaan kuota itu hanya tertakluk kepada kelulusan badan selia kewangan tempatan, tambah sumber itu lagi.

Pengenalan skim baru yang mana asalnya skim amanah PNB adalah dikhaskan untuk bumiputera, dilihat akan meningkatkan cabaran kepada firma pelaburan itu untuk menawarkan pulangan yang berdaya saing kepada para pemegang unit ketika dunia termasuk Malaysia menyaksikan ketidaktentuan ekonominya.

PNB telah melancarkan dana pertama kepada rakyat Malaysia pada 28 Ogos 1996 melalui ASW 2020 dengan saiz permulaan sebanyak tiga bilion unit yang menyaksikan pertambahan saiz sebanyak lima kali dan sehingga 31 Ogos lalu, jumlah unit ASW 2020 adalah sebanyak 7.76 bilion.

Skim unit amanah yang ditawarkan oleh PNB sentiasa mendapat sambutan hangat terutamanya di kalangan bukan bumiputera kerana diyakini lebih selamat dan menawarkan pulangan yang kompetitif.

Sebagai contohnya, ASM pada Julai tahun lalu, telah habis dilanggan dalam masa 39 minit dan peruntukan bukan bumiputera dalam ASW 2020 sentiasa berjaya dijual dalam masa singkat.

Sehingga Februari tahun ini, PNB membayar lebih RM60 bilion dalam bentuk agihan pendapatan kepada kira-kira 8.8 juta pemegang unit amanahnya sejak skim dana pertama iaitu ASN ditubuhkan pada 20 April 1981.

Difahamkan pengumuman dan pelancaran produk terbaru itu akan dilakukan sebaik sahaja pengenalan skim berkenaan mendapat lampu hijau daripada SC.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN