VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 03/10/2008

Akbar, Aktal serupa tapi tak sama

LAHIR sebagai pasangan kembar pada 23 Mei 1975, Akbar Sahari dan adiknya Aktal, 33, sememangnya sukar untuk dipisahkan.

Sejak zaman kanak-kanak sehingga berhijrah ke Kuala Lumpur, keduanya saling berkongsi banyak pengalaman bersama.

Keakraban mereka seperti isi dengan kuku dan kedua-dua beradik itu saling menyayangi satu sama lain.

Biarpun ketika ini sudah punyai haluan sendiri, kuasa magnet antara mereka tetap utuh hinggakan pada awalnya Akbar dan Aktal agak kekok tatkala keduanya mengambil keputusan untuk berasingan dalam mencari erti hidup masing-masing.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Sungai 2 Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Akbar yang berkelulusan Diploma Perniagaan dari Institut Tun Abdul Razak (ITAR) kemudiannya memasuki bidang pengacaraan di TV3.

Bagi Aktal pula, sebaik menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyertai Lembaga Zakat Selangor dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pembangunan Korporat.

Namun begitu, akhir-akhir ini, wajah Aktal mula mendapat perhatian ramai setelah muncul di kaca televisyen dan mengikuti jejak Akbar untuk bergelar pengacara.

Diberi peluang menjadi hos bagi rancangan Sebutan Syariah di saluran Oasis (saluran 106, Astro), ia merupakan pengalaman pertama Aktal sebagai pengacara, manakala Akbar pula masih setia dengan program sukannya, Scoreboard di TV3.

Baru-baru ini, kedua-dua mereka digandingkan dalam satu sesi fotografi Aidilfitri yang berlangsung di Seri Pentas, TV3.

Khusus untuk tatapan pembaca setia Hits, banyak perkara dikongsi bersama termasuk perbezaan fizikal antara Akbar dan Aktal.

Serupa tapi tak sama, Akbar lebih bersikap gila-gila, banyak tahi lalat di muka dan tidak berjanggut, manakala Aktal adalah sebaliknya serta agak pendiam.

Akbar dipanggil ustaz

Sebaik Aktal menceburi bidang pengacaraan di saluran Oasis pada penghujung tahun lepas, tempias itu sedikit sebanyak terkena pada diri Akbar.

Masakan tidak, oleh kerana Aktal mengendalikan program bercorak keagamaan, ramai yang menyangka ia adalah Akbar.

Berikutan itu, Akbar menerima banyak komen melalui panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Ramai yang bertanya sejak bila saya sudah menjadi ustaz. Sebenarnya mereka keliru antara saya dan Aktal,’’ katanya.

Menurut Akbar, dia sendiri pada awalnya tidak menyedari yang adiknya Aktal menceburi bidang pengacaraan.

“Aktal memang merahsiakannya daripada pengetahuan saya sehinggalah anak saya terbuka saluran Oasis dan terpampang wajah Aktal.

“Mula-mula memang saya terkejut. Selepas itu saya terus hubungi dia. Aktal ada bakat sebab dia sudah biasa menjadi pengacara bagi majlis-majlis tertentu,’’ jelasnya yang akan pulang ke Kuala Pilah pada Aidilfitri ini.

Mengulas mengenai kariernya sebagai pengacara sukan di Scoreboard, Akbar berkata, bidang pengacaraan sukan tidaklah glamor berbanding hiburan.

“Disebabkan itu, ramai yang tidak berminat untuk menjadi pengacara sukan. Pernah saya terlibat dalam satu sesi uji bakat terbuka mencari pengacara sukan, hanya beberapa kerat sahaja yang datang,’’ ujarnya.

Kata Akbar, disebabkan tidak glamor dan kurang minat, ramai pengacara sukan yang sudah bertaraf senior masih meneruskan karier lantaran kurangnya barisan pelapis.

Aktal mahu tinggalkan kerja?

Sementara itu, bagi Aktal pula, dia mula mengendalikan Sebutan Syariah sejak hujung tahun lalu selepas diberikan peluang oleh penerbit eksekutif program itu, Wan Kamarudin Wan Ibrahim.

Tidak terlintas untuk bergelar pengacara, dia akhirnya setuju untuk menceburi bidang itu bagi memantapkan lagi kemahiran komunikasi dan pengetahuan sesuai dengan kerjanya di Lembaga Zakat Selangor.

“Sebelum ini saya selalu melihat Akbar di kaca televisyen. Peluang yang diberikan oleh Wan Kamarudin tidak saya lepaskan asalkan ia berkaitan tentang keagamaan.

“Melalui Sebutan Syariah, saya merasa puas kerana dapat menyalurkan maklumat kepada orang ramai berkaitan perundangan syariah,’’ jelas Aktal.

Menurutnya, disebabkan sibuk di lokasi rakaman program, dia tidak berniat untuk meninggalkan kerja di Lembaga Zakat Selangor.

“Tidak perlu berhenti kerja. Lagipun, saya akan pastikan rakaman Sebutan Syariah yang kini memasuki ke musim kedua tidak mengganggu tugas hakiki.

“Rakaman akan dilakukan pada hari minggu atau waktu malam,’’ katanya yang berkongsi minat yang sama dengan Akbar iaitu menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ketika ditanya mengenai pengalaman kanak-kanak bersama Akbar, Aktal memberitahu, dia dan abangnya itu tidak boleh berpisah walau sesaat.

“Pernah satu ketika Akbar dibawa untuk tinggal bersama datuk di Johor. Saya pula masa itu di Kuala Pilah.

“Dalam tempoh itu, saya dan Akbar sering menangis dan sakit. Kami tidak boleh berpisah.

“Akhirnya, Akbar dibawa balik ke kampung. Selepas itu, kami sama-sama ke Kuala Lumpur sebelum berpisah mencari haluan masing-masing. Mula-mula nak pisah dulu pun, kami rasa sedih sangat,’’ tambahnya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.