VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
TIMUR

ARKIB : 26/09/2008

Akok beri pulangan lumayan


Kamaruzaman Pa' Adek (kiri) bersama pekerjanya menjual akok bunga pandan yang menjadi kegemaran pelanggan di Kampung Lemal Pasir Mas, semalam.
- Gambar ZULHANIFA SIDEK


PASIR MAS 25 Sept. - Apakah juadah pemanis untuk berbuka yang sentiasa menjadi pilihan utama kebanyakan penduduk di negeri ini sepanjang Ramadan kalau bukan akok.

Justeru kuih tradisional yang sinonim dengan rakyat negeri ini diusahakan oleh ramai orang namun tidak semua yang mampu menghasilkan akok yang enak dan sedap seperti silam.

Jangan terpedaya dengan rupanya yang kusam dalam bentuk 'keping' dan 'bunga', kerana itu gambaran sebenar keenakannya. Adunan ramuan yang ringkas dan cara pembuatan kelihatan mudah tetapi hanya yang paling berkemahiran mampu mengangkat rasa sebenarnya.

Sebagai contoh, deretan orang ramai yang beratur panjang sejak dari pagi pada bulan puasa di sebuah restoran di Kampung Lemal, Pasir Mas di sini membuktikan pengiktirafan pelanggan, selain di Salor.

Akok, bunga perasa pandan yang diusahakan oleh Kamaruzaman Pa' Adek lebih mudah dibeli dengan membuat tempahan awal kerana jika tidak berbuat demikian bukan sahaja perlu beratur tetapi dihadkan pembelian sekadar dua biji seorang.

Beliau bersama isteri dibantu 45 pekerja dan mereka menyediakan kira-kira 3,000 biji akok, setiap satu berharga RM2.50, justeru perolehan sehari sekitar RM7,500 hingga RM8,000.

Tradisi mengeluarkan akok secara besar-besaran hanya dilakukannya pada bulan Ramadan sejak 13 tahun lalu supaya para pekerja dapat terus bekerja dan mempunyai pendapatan.

Restoran ditutup sepanjang bulan ini dan tempat itu bertukar menjadi pusat perusahaan akok.

Restoran tersebut hanya menjual akok bunga pada bulan Ramadan kerana di luar bulan itu, ia menyajikan pelbagai jenis makanan panas termasuk nasi campur, nasi berlauk, nasi kerabu ayam dan daging bakar serta nasi ayam.

''Sekitar pukul empat petang, sudah habis jualan walaupun pada kelazimannya ketika itulah orang ramai mula mengunjungi gerai atau bazar ramadan untuk membeli juadah," katanya.

Sejak pagi orang ramai mula beratur untuk mendapatkan akok kerana bimbang kuih tersebut habis. Ada yang datang dari jajahan lain dan kebanyakannya membeli dalam jumlah yang banyak terutama untuk majlis berbuka puasa.

Katanya, idea mewujudkan perniagaan menjual akok semata-mata di bulan puasa memberi pendapatan kepada pekerjanya.

''Kebetulan, saya mewarisi resipi membuat akok daripada nenek yang dikenali dengan panggil Stawa dan mencuba kepandaian tersebut untuk meraih pendapatan di bulan Ramadan,'' katanya.

Langkah tersebut berjaya, malah sejak lima tahun kebelakangan ini, akok pandan yang ditawarkan mendapat sambutan tinggi di kalangan penggemar makanan itu.

Dibantu isteri, Noraini Mat Junos, 44, dan para pekerja, masing-masing mempunyai peranan daripada penyediaan bahan seperti santan, telur itik, gula dan daun pandan, daun pisang sebagai pelapik, mengisar daun pandan sehinggalah kepada kerja-kerja membakar yang mengekalkan teknik tradisional menggunakan arang.

Istimewanya akok pandan yang ditawarkan di sini teksturnya halus dan lembut ditambah dengan rasanya yang enak kerana terasa pandan dan telurnya apabila dikunyah, ditambah pula dengan aroma daun pandan.

Ditanya rahsia akok buatannya laris, Kamaruzaman mengaku cerewet dengan pemilihan bahan-bahan asas membuatnya kerana hanya mahukan yang terbaik untuk mengekalkan keenakannya.

''Saya hanya memilih yang terbaik seperti kelapa baru dan segar yang diambil santannya, air daun pandan yang ditapis berulang kali untuk pati, telur gred A.

''Hanya saya dan isteri yang akan menentukan sukatan bahan mentah untuk setiap ramuan. Bukan tidak mempercayai pekerja melakukan kerja bancuhan tetapi saya mahu mengekalkan rasanya untuk kepuasan pelanggan," katanya.

Bagi menghasilkan lebih kurang 3,000 keping akok, antara bahan yang digunakan ialah 400 kilogram tepung gandum, 2,000 butir telur, 240 kilogram gula dan 70 kilogram air daun pandan.

Kerja-kerja membakar menggunakan arang daripada kayu terpilih yang tidak mudah padam dan tidak mengeluarkan banyak asap.

''Saya terpaksa mengubah suai kedudukan dalam restoran untuk membina dapur kayu yang memuatkan 20 biji dapur dan mampu memasak 200 biji akok serentak dalam tempoh sekitar 20 minit dalam bekas tembaga.

''Sebanyak 10 pusingan akok dibakar pada sebelah pagi dan 10 pusingan lagi dibakar selepas 2 petang,'' katanya.

Melihat sambutan yang menggalakkan, Kamaruzaman berhasrat mengembangkan lagi perniagaan menjual akok pada masa hadapan dengan mempelajari teknik pengeluaran, pembungkusan yang baik dalam meneroka pasaran lebih luas.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.