|
Di dalam sejarah Islam, kepimpinan menghargai perpaduan kaum jelas dilihat melalui aksi dan tindakan siasah oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda sebagai model negara berasaskan hubungan kaum. Baginda SAW bukan berkhayal tetapi membentuk pemikiran matang yang akhirnya mematangkan kaum-kaum yang disatukan melalui perlembagaan negara iaitu Perlembagaan Madinah.
Oleh itulah penulis buku Michael H. Hart pengarang buku The 100: A Ranking of The Most Influential Persons in History meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh pertama yang berjaya mempengaruhi manusia melalui kerangka pemikir yang sentiasa membawa hala tuju jelas dan mantap dalam sistem sosial sebagai sebuah negara Islam.
Baginda SAW membawa peradaban manusia melalui azam dan harapan yang sentiasa terarah kepada kesejahteraan seluruh alam. Sebaliknya Baginda SAW menafikan setiap tindakan keganasan, perbuatan membalas dendam, menghasut dan provokasi kerana ia langsung tidak memberi manfaat kepada manusia.
Mengapa pula ramai manusia yang gagal berfikir secara matang, sekali gus menjerumuskan diri ke dalam kancah yang membawa konflik akibat perbezaan ideologi, anutan agama dan bersikap fanatik? Bukankah semua keadaan tersebut hanya mencetuskan ketegangan, kerapuhan kasih sayang sesama manusia lantas menuju era keruntuhan tamadun.
Dalam konteks pembinaan perpaduan nasional pula ketakutan melampau sebenarnya dihasilkan daripada cetusan pemikiran yang sentiasa diselubungi perasaan bimbang, takut dan melalui proses khayalan yang tidak bermanfaat sehinggakan semua orang di sekitarnya dianggap hendak menghapuskan bangsa mereka daripada negara ini.
Malahan perasaan-perasaan itu semua akan memadamkan segala fakta yang terhidang untuk dihayati dan difahami daripada benak manusia. Perasaan ini juga sebenarnya akan menjadikan kita sudah tidak selamat (meskipun persekitaran kita aman), diancam musuh, perlu berwaspada dan mencari jalan keluar untuk menyelamatkan keadaan.
Kebimbangan itu akhirnya membawa kepada tindakan yang di luar batas kemanusiaan kerana telah dihambat oleh isu-isu remeh, palsu dan penuh pembohongan sekalipun dibentangkan sebanyak mungkin fakta-fakta yang berasas kepada mereka.
Di dalam al-Quran Allah SWT mendedahkan niat jahat syaitan agar mudah manusia terjebak ke dalam perangkap angan- angan dan khayalan yang sia-sia. Firman- Nya yang bermaksud "Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka". (Surah An-Nisaa' ayat 119)
Apa yang boleh difahami daripada ayat tersebut ialah jika kita terdorong oleh khayalan semata-mata, tidak mampu berfikir dengan baik maka kehidupan kita akan dikendalikan oleh syaitan sepenuhnya. Lantas segala perilaku hanya akan menjurus kepada kerosakan dan keadaan yang tidak aman.
Lantaran itu seluruh masyarakat dunia lebih mengharapkan akan muncul situasi yang lebih selamat di muka bumi ini agar dapat menikmati suasana kehidupan dengan lebih harmoni. Sedangkan memusuhi manusia lain dan perbuatan menghasut akan mengarah kepada situasi yang boleh mencetuskan konflik, huru-hara dan menjejaskan perpaduan kaum merupakan manifestasi daripada pemikiran yang tidak matang.
Di dalam Surah Ali Imran ayat 191 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka".
Pedoman
Antara inti pati daripada ayat di atas adalah setiap kejadian itu pasti ada sebab-sebab yang perlu dibongkar agar manusia dapat menjadikannya pedoman dan panduan dalam mengharungi kehidupan. Tetapi berapa ramaikah di kalangan kita pada hari ini yang sangat mengambil berat dan bertanya diri sendiri mengapakah sesuatu kejadian itu berlaku dan seterusnya mencari kaedah penyelesaiannya?
Seorang tokoh pemikir Islam iaitu Harun Yahya (nama pena kepada Adnan Oktar) berpendapat bahawa manusia pada hari ini melihat segala sesuatu dengan pandangan yang biasa. Sekadar melihat tanpa renungan yang mendorong seseorang agar mengetahui lebih jauh apa yang sedang mereka lihat.
Kajian daripada data-data saintifik berpaksikan dalil-dalil al-Quran akhirnya menolak teori evolusi yang dicetuskan oleh Charles Darwin. Darwinisme banyak mempengaruhi kerangka pemikiran Hitler, Mus- solini, Stalin dan pemimpin diktator yang lain. Akibatnya banyak pertumpahan darah kerana dasar penghapusan etnik yang mereka lakukan kerana mendokong ideologi Darwinisme.
Pucuk pimpinan negara sudah banyak belajar daripada perjuangan kemerdekaan daripada negara-negara lain. Uniknya kemerdekaan Malaysia dalam sejarah perjuangannya adalah berpaksi kepada kontrak sosial yang mengikat semua kaum di Malaysia sebagai suatu amanah menjaga keamanan yang sangat besar ertinya kepada makna perpaduan itu sendiri.
Andainya kita tidak menghargai pakatan murni ini seolah-olah kita beranggapan bahawa pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam kontrak sosial dalam sejarah perjuangan sebagai tidak matang dan hanya mereka-reka khayalan sahaja.
Sebagai rakyat kita harus menilai dan berpandangan dengan lebih jauh (tetapi tidak liberal hingga tiada sempadannya), bukannya berkhayal tanpa pelan tindakan untuk mencapai matlamat perpaduan kerana khayalan sekalipun kadang-kadang boleh mencetuskan idea tetapi bahaya kepada mereka yang belum matang kerana boleh mengheret kepada tindakan di luar batas.
Betapa banyak dasar kerajaan yang telah diperkenalkan oleh pemimpin negara dan apakah rakyat mampu berfikir dengan gaya yang matang lagi jauh ke hadapan agar dapat menjadikan ia sebagai aksi yang matang dan bukannya dipenuhi retorik. Sekadar bertanya adakah kita masih mahu terus berkhayal atau terus beraksi bagi merealisasikan perpaduan di negara kita?
IKLAN@UTUSAN
|