Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 23/09/2008
Membuang sikap prejudis

Membuang sikap prejudis


SIKAP prejudis antara kaum boleh dihapuskan menerusi pendidikan awal dan program integrasi di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
- Gambar Hiasan


DALAM membicarakan cadangan Akta Hubungan Kaum, pandangan pelbagai pihak perlu diambil kira termasuk yang mengatakan secanggih mana pun akta yang dilaksanakan kelak belum tentu mampu mengukuhkan perpaduan serta kesepakatan di kalangan rakyat.

Ini kerana selagi elemen-elemen asas seperti perasaan curiga sesama kaum, tiada keikhlasan dan menghormati hak serta privasi sesama kaum serta tiada perubahan sikap dan minda di kalangan setiap seorang rakyat Malaysia untuk hidup bersatu padu, maka selama itulah akan menggagalkan usaha serta kerja keras pakar undang-undang untuk menggubal Akta Hubungan Kaum itu.

Dalam menghuraikan mengenai masalah keretakan hubungan kaum, etnik atau kelompok, satu sikap yang dilihat amat berperanan ialah sikap prejudis dan diskriminasi. Sikap prejudis dan diskriminasi kepada perkauman, etnik dan agama sudah berlanjutan wujud dalam konteks dunia dan malang sekali ia seringkali diterjemahkan dalam keadaan yang menyedihkan.

Banyak buku yang membicarakan mengenai sikap prejudis dan diskriminasi seperti Social Psychology of Prejudis oleh Melinda Jones, Understanding Prejudice and Discrimination oleh Scott Plous dan The Nature of Prejudice: 25th Anniversary Edition oleh Gordon W. Allport.

Buku Social Psychology of Prejudice membincangkan pelbagai teori prejudis serta meneroka proses psikologikal yang biasa dilalui dalam membentuk pelbagai bentuk sikap prejudis seperti stereotaip dan mekanisme kognitif. Buku ini juga membincangkan isu perhubungan dalam dan antara kelompok serta identiti sosial sebagai sumber-sumber prejudis.

Fokus buku ini tidak ketinggalan memberi perhatian bagaimana individu boleh berdaya tindak ke atas sikap prejudis dan bagaimana prejudis memberi kesan kepada identiti dan maruah diri seseorang. Kaedah mengurangkan sikap prejudis juga turut dibincangkan dalam buku ini.

Masalah keretakan hubungan kaum, etnik, kelompok serta konflik dalam kumpulan dan keganasan berlaku di banyak tempat. Di awal 1990-an, pembersihan etnik berlaku di Kosovo di mana kaum Serbia mencetuskan peperangan ke atas etnik Albania. Pembunuhan berlaku berleluasa dan memaksa begitu ramai penduduk Albania meninggalkan rumah mereka. Di Rwanda, dianggarkan seramai 800,000 Tutsis dibunuh secara terancang oleh kaum Hutus pada tahun 1994.

Publisiti

Di Amerika Syarikat pula, jenayah yang melibatkan kebencian etnik berlaku secara berleluasa. Kebanyakan daripada kejadian adalah kes-kes yang melibatkan ahli kumpulan majoriti menyerang ahli kumpulan minoriti dan sebaliknya. Satu contoh kejadian yang mendapat publisiti meluas ialah pada Jun 1998, James Byrd Jr, seorang berkulit hitam telah dipukul sehingga tidak sedarkan diri oleh 3 orang kulit putih. Beliau kemudiannya dirantai di sebuah trak dan diseret sehingga mengakibatkan kematiannya.

Pada Julai 1999, sekumpulan orang kulit putih telah menembak Woo Joon Yoon, seorang pelajar dari Korea di Indiana University di luar sebuah gereja di Bloomington. Pada Ogos 1999, Buford O Furrow telah melepaskan tembakan di Pusat Komuniti Yahudi dan mencederakan lima orang. Beliau kemudiannya memberitahu bahawa beliau bertindak sebagai satu "panggilan" kepada rakyat Amerika untuk membunuh orang Yahudi. Seorang kulit hitam pula telah mengamuk dan membunuh 3 orang kulit putih dan mencederakan dua yang lain di Wilknsbury Pennsylvania.

Kejadian-kejadian seperti di atas menunjukkan peringatan tragis bahawa sikap prejudis yang didasarkan kepada perkauman, etnik dan agama berlanjutan wujud dan sering dimanifestasikan dalam bentuk yang berbahaya dan tragis sekali.

Persoalannya ialah apakah yang menyumbang kepada perasaan benci, curiga dan prejudis? Apakah ciri individu yang menyumbang kepada sikap prejudis ini. Soalan yang paling penting ialah, apakah yang boleh dilakukan untuk mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan perasaan prejudis? Kesemuanya ini ada dijelaskan dalam buku Social Psychology of Prejudice.

Sikap prejudis seringkali melibatkan sikap individu kepada individu atau kelompok yang berlainan dari segi agama, etnik, jantina dan orientasi seksual. Ia adalah tindakan menghukum atau menilai tanpa bukti dan selalu didasarkan atas persepsi yang telah dibina terlebih awal. Kesan sikap prejudis di tahap individu boleh merosakkan sesuatu perhubungan manakala dalam skala yang lebih besar, ia boleh melibatkan keganasan dan peperangan. Tentu sekali sikap prejudis ini perlu dielakkan.

Beberapa langkah dilihat boleh membantu mengurangkan sikap prejudis dan diskriminasi. Langkah pertama ialah kita perlu kenal individu lain atas dasar peribadi sebelum mengambil keputusan untuk tidak menyukai mereka. Kita tidak akan menyukai semua orang tetapi perlu menghormati orang lain sebagai seorang individu dan meluangkan masa bersama-sama mereka sebelum membuat sebarang hukuman atau penilaian.

Kita perlu menyedari banyak cara sesuatu perkara boleh dilakukan.

Dalam langkah kedua, sikap prejudis boleh diatasi dengan melayan orang sebagaimana kita ingin orang melayan kita. Kita perlu berfikir bagaimana perasaan jika dilayan atas tindakan kita dan melihat sesuatu tindakan dari perspektif yang berbeza.

Langkah ketiga ialah kita perlu belajar mengenai budaya yang berbeza dan memahami perbezaan antara diri dengan orang lain. Pendidikan membolehkan kita membezakan sesuatu yang bersifat realiti dengan mitos. Semakin banyak kita belajar, semakin baik kita dapat menghubungkan diri dengan orang lain.

Langkah keempat ialah menghormati perbezaan yang wujud. Manusia perlu bersetuju untuk tidak bersetuju. Walaupun kita tidak menyukai orang lain, kita masih boleh menghormati pandangan mereka dan mesti menghargai hak mereka untuk membuat pilihan

Cadangan untuk mewujudkan Akta Hubungan Kaum amat perlu disokong untuk memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman dan rakyat pelbagai kaum dapat hidup dengan harmoni.

Elemen-elemen asas seperti membuang sikap prejudis dan perasaan curiga sesama kaum, keikhlasan dan menghormati hak serta privasi sesama kaum perlu wujud dalam menjadikan Akta Hubungan Kaum ini satu kejayaan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN