|
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Masyarakat Cina sedar suasana tidak sihat akan wujud di negara ini sekiranya semua parti berasaskan kaum itu di negara ini berpihak kepada pembangkang.
Timbalan Presiden Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Tan Yew Sing berkata, kesedaran itu terbukti dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas apabila kaum Cina masih memberi sokongan kuat kepada Barisan Nasional (BN).
''Walaupun di beberapa kawasan, pola pengundian masyarakat Cina tidak menyebelahi BN, namun ini tidak bermakna bahawa semua kaum Cina cenderung berpihak kepada parti pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai mengingatkan masyarakat Cina tentang bahaya jika semua parti berasaskan kaum itu berpihak kepada pembangkang dan hanya parti berasaskan orang Melayu menjadi parti memerintah.
Menurutnya, dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang kaum seperti Malaysia, pentadbiran kerajaan perlu melibatkan pelbagai kaum bagi mengekalkan keamanan.
Yew Sing menjelaskan, kaum Cina di negara ini bersikap realistik dalam menilai prestasi sesebuah parti politik dan akan bertindak menyokong parti itu jika ia dapat menjaga kepentingan mereka.
''Sekiranya kerajaan BN bersikap adil dan tidak mengabaikan hak-hak kaum Cina daripada segi ekonomi, politik, perniagaan dan pendidikan, saya percaya masyarakat Cina di negara ini akan terus menyokong BN," jelas beliau.
Pengerusi Jawatankuasa Sivilnya, Ser Choon Ing berkata, semua parti berasaskan kaum Cina di negara ini tidak boleh menyokong satu pihak sahaja kerana ia akan menggagalkan konsep 'check and balance' yang wujud dalam politik negara.
''Sehubungan itu, saya berpendapat semua rakyat perlu melibatkan diri dalam pentadbiran negara kerana Malaysia ialah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum," katanya.
Menurut beliau, sistem dua parti dalam bentuk gabungan antara BN dan pakatan pembangkang yang wujud di Malaysia sekarang adalah penting dalam memastikan masalah seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah tidak berleluasa di negara ini.
Sementara itu, bekas Profesor Psikologi Sosial Universiti Malaya, Datuk Dr. Chiam Heng Keng berkata, rakyat Malaysia yang berbilang kaum perlu menjadikan keamanan dan kesejahteraan sebagai teras utama untuk memajukan negara ini.
''Sekiranya semua rakyat bukan Melayu menyokong parti pembangkang, saya berpendapat ia hanya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan pentadbiran negara kita," katanya.
Menurutnya, urus tadbir kerajaan yang baik perlu melibatkan penyertaan daripada semua rakyat dan bukan diuruskan oleh satu kaum sahaja.
IKLAN@UTUSAN
|