|
![]() |
|
ZOMBI Kampung Pisang merupakan salah satu karya arahan Mamat Khalid yang mempunyai banyak unsur kritikan masyarakat. |
APABILA berbicara tentang sutradara Mamat Khalid tentunya ramai penonton yang skeptikal dan beranggapan beliau merupakan seorang pengarah filem yang tanpa hala tuju dalam berkarya.
Pandangan itu tercetus apabila melihat kebanyakan filem arahannya dikatakan seakan-akan seperti menampilkan lawak bodoh lagi merapu-rapu, filem kampung atau longgar daripada segi pengisian mesej tersirat di sebalik karya-karyanya itu.
Bagaimanapun, ramai yang kurang menyedari bahawa Mamat merupakan seorang pengarah yang cukup berambisi dalam usahanya untuk memperkayakan khazanah filem Melayu dengan menggunakan unsur-unsur budaya setempat.
Pengkritik filem, A. Wahab Hamzah misalnya, menyifatkan Mamat seorang pengarah yang banyak menyelitkan unsur-unsur sindiran biarpun secara luarannya filem-filem arahannya itu kelihatan seperti menampilkan lawak-lawak yang merapu.
“Pada mulanya saya sendiri pun tidak perasan dengan pendekatan Mamat itu. Tetapi selepas saya tonton satu persatu filem-filem beliau, barulah saya dapati ada sesuatu di sebaliknya.
“Contohnya, dalam filem Zombi Kampung Pisang Mamat cuba menonjolkan serta mengkritik tentang sikap golongan-golongan kapitalis yang rakus untuk menguasai orang kampung dan juga golongan orang beragama.
“Bagi saya, mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini lebih menarik berbanding Kala Malam Bulan Mengambang yang juga diarahkannya,” katanya pada Seminar Pemikiran Mamat Khalid di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Jelas A. Wahab, terbukti filem-filem Mamat yang telah ditontoninya banyak mencerminkan tentang sosio budaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini yang mesej-mesejnya berjaya digarap dengan begitu halus sekali.
Meskipun, terdapat unsur-unsur yang melampau yang cuba digambarkan oleh Mamat seperti watak penyanyi Datuk M. Daud Kilau turun dari langit dalam filem Man Laksa, tetapi ia mempunyai kritikan tersendiri di sebaliknya.
“Saya akui filem-filem arahan Mamat sarat dengan gaya kehidupan dan budaya setempat. Filem Zombi Kampung Pisang misalnya, menampilkan elemen hantu yang mungkin di bawa dari luar tetapi ia disesuaikan dengan budaya tempatan.
“Mamat juga cuba memasukkan unsur mitos dalam karya-karyanya dan ini amat penting kerana bagi saya, sesuatu masyarakat itu harus ada mistosnya yang tersendiri kerana tanpanya kita akan hilang jati diri,” ujarnya.
Seorang lagi pengkritik filem Norman Yusof menyifatkan filem-filem arahan Mamat bukanlah karya lawak merapu seperti yang dilemparkan oleh segelintir pihak, sebaliknya, terdapat banyak unsur moral yang cuba diterapkan.
Sayangnya kata Norman, mesej dan gaya penyampaian Mamat itu mungkin belum dapat dilihat secara terus oleh para penonton.
Ini kerana katanya, pengarah seperti Mamat bijak dalam melindungi mesej serta kritikannya itu menerusi adegan atau watak yang harus ditafsirkan secara mendalam mengikut keadaan serta peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.
“Saya dapati Kala Malam Bulan Mengambang mempunyai banyak unsur moraliti di mana watak utama filem itu yang dilakonkan oleh Rosyam Nor seakan-akan berperanan untuk mencari suatu kebenaran yang terslindung.
“Gaya sinematografi dalam filem itu seperti bantuan daripada limpahan cahaya, bayang-bayang dan warna hitam putih turut membantu Mamat dalam menyampaikan mesej-mesejnya itu,” katanya.
Marhaen
Sementara itu, seorang lagi pengkritik filem Dr. Zulkifli Mohd. turut mengakui bahawa filem-filem Mamat Khalid sarat dengan unsur-unsur budaya dan gaya kehidupan masyarakat marhaen yang begitu dekat dengan gaya penontonan di negara ini.
Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi filem arahan Mamat berjudul Rock.
Karya itu disifatkannya berjaya mengimbas nostalgia para peminat rock di negara ini pada tahun 1980-an yang juga pernah mencetuskan suatu fenomena di negara ini.
“Saya dapati filem-filem arahan beliau bukannya menceritakan tentang perkara yang gah atau yang hebat-hebat tetapi ia cuma sekadar cerita tentang orang biasa sahaja tetapi ia dekat dengan hati dan masyarakat penontonnya.
“Lihat sahajalah filem Rock. Ia cuma mengenai anak-anak muda. Sewaktu saya tonton filem itu di Kajang, Selangor, pawagam menjadi riuh rendah dengan penonton yang kebanyakannya daripada kalangan mat rock,” komennya.
Selepas mendengar komen dan pandangan daripada tiga pengkritik filem tersebut, Mamat kemudiannya tampil sedikit sebanyak mendedahkan tentang gaya serta matlamat penghasilan filem-filem arahannya.
Jelas adik kepada kartunis Datuk Lat ini, beliau sentiasa menggunakan medium perfileman sebagai suatu cermin kehidupan untuk mengetengahkan apa-apa juga isu atau cerita yang sedang dan telah berlaku di kalangan masyarakat masakini.
Kata Mamat, beliau cuba menjadikan filem-filem arahannya menjadi sebuah produk yang sarat dengan budaya setempat selain mengemukakan sindiran semasa yang harus difikir serta ditafsirkan oleh para penonton mengikut pendekatan masing-masing.
“Saya sebenarnya mahu menganggap medium perfileman sebagai satu cabang budaya tidak kira budaya apa juga termasuklah budaya berfikir. Sayangnya, orang kita hanya menganggap filem sebagai bahan hiburan semata-mata.
“Kita belum membicarakan filem daripada sudut budaya. Mungkin tahap kita belum sampai seperti pemikiran masyarakat negara maju seperti di Eropah yang berjaya menjadikan filem sebagai suatu wadah budaya untuk sajian masyarakat mereka,” jelasnya.
Biarpun dikenali sebagai pembikin filem arus perdana, tetapi pada masa sama Mamat menjelaskan beliau tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan rentak trend filem semasa yang banyak dipengaruhi oleh kalangan ahli-ahli akademi atau pengkritik filem yang seolah-olah masih streotaip.
Ini kerana katanya, apa yang berlegar di benak pemikiran para pengkritik yang melihat filem-filem arahannya daripada sudut-sudut berbeza di mana ia tentunya tidak sama dengan gaya pemikiran pengarah sepertinya yang mewakili golongan kreatif.
Beliau turut menyeru agar para penonton tidak terlalu menghukum seseorang pengarah dengan sesuatu karya lain daripada lain yang telah dihasilkan tanpa memberi ruang kerana ia boleh menyekat kreativiti pengarah sepertinya.
“Saya bikin filem mengikut naluri saya dan bukannya dipengaruhi oleh orang di sekeliling saya. Sebab itu saya minta agar masyarakat terutamanya orang Melayu dapat terima gaya pembikinan filem-filem arahan saya.
“Kalau boleh janganlah kita mudah untuk menghukum para pembikin filem macam saya. Ini kerana, apa yang ingin saya buat ialah menyajikan hiburan dan di sebalik filem itu fikirlah sendiri,” ujarnya.
Menurut Mamat lagi, kebanyakan idea dalam penghasilan filem-filem arahannya tercetus secara spontan tetapi ia kemudiannya dikembangkan dengan mengambil kira apa yang berlaku dalam masyarakat di sekelilingnya.
Beliau memberi contoh tentang judul filem terbarunya yang berjudul Robert Lam Seri Panggung yang hanya sekadar sebuah tajuk dan belum mempunyai mempunyai skrip dan perancangan untuk penggambaran.
Walau apa juga tajuk dan genre filem arahannya, Mamat seolah-olah menagih pengertian daripada para penonton terutamanya para pengkritik filem agar lebih terbuka dalam melihat filem-filem arahannya.
“Dulu A. Wahab Hamzah pernah kata saya ‘membunuh’ filem Man Laksa kerana saya cuba tonjolkan watak seperti Mat Jenin dalam filem tersebut. Saya memang sengaja mencipta watak itu yang seperti anti-hero.
“Saya juga buat filem noir atau hitam putih bukan kerana warna kerana ia hanya suatu gaya imejan. Bagi saya ia tetap warna. Malah, imej gelaplah yang boleh menampakkan mesej kegelapan di sebaliknya,” katanya lagi penuh makna.
IKLAN@UTUSAN
|