|
IKLIM ketidaktentuan politik negara terutama usaha pihak parti pembangkang untuk membentuk kerajaan baru boleh memberi kesan kepada perasaan tidak selesa rakyat dari segi psikologi dan juga jaminan keselamatan dan kedamaian rakyat.
Senario bergolak politik negara boleh mengundang kepada persepsi negatif, menimbulkan perasaan prejudis dan imaginasi negatif yang jika tidak diatasi segera boleh menyumbang kepada ketakutan dan ketidakselesaan psikologi dan tekanan kehidupan rakyat.
Dalam kehidupan, manusia amat memerlukan jaminan keselamatan dan keselesaan psikologi dari segi menjalankan urusan kehidupan seharian. Tanpa merasa selamat dari sudut jaminan keselamatan diri, sukar manusia memenuhi potensi diri dan berfungsi sepenuhnya.
Teori hierarki keinginan manusia Maslow menjelaskan keinginan atau keperluan asas manusia pada peringkat kedua ialah keperluan terhadap keselamatan dan kedamaian diri.
Apabila manusia telah memenuhi keperluan asas yang pertama iaitu keperluan fisiologi seperti keinginan terhadap makanan, udara dan seks, barulah manusia merasa perlunya kepada jaminan keselamatan.
Apabila jaminan keselamatan ini telah dipenuhi, manusia akan seterusnya pergi kepada keperluan seperti kasih sayang, penghormatan diri dan kesempurnaan diri. Unsur jaminan keselamatan dan kedamaian termasuklah mempunyai iklim politik negara yang sihat di mana rakyatnya merasa bebas dan selamat untuk menjalankan urusan kehidupan seharian.
Suasana porak-peranda politik dan ekonomi sesebuah negara yang diakibatkan oleh gelagat pemimpin yang "gilakan kuasa" bukan saja akan menakutkan rakyat, tetapi memberi persepsi negatif kepada pelabur dan pengurus dana asing. Jika pelabur dan pengurus dana asing tidak berminat untuk melabur di Malaysia atas ketakutan mereka terhadap kestabilan politik negara, rakyat sendiri yang akan merasai kesan negatif kelembapan ekonomi nanti.
Pemimpin yang gilakan kuasa adalah pemimpin narkisistik yang tugasnya ialah suka mengeksploitasi rakyat. Pemimpin jenis ini menunjukkan sikap kurang prihatin mengenai nasib rakyat tetapi inginkan layanan yang istimewa. Seringkali pemimpin narkisistik mempunyai perasaan yang menganggap dirinya sangat penting dan selalu berusaha untuk mendapat perhatian. Negara hanya memerlukan seorang sahaja pemimpin berkarateristik sebegini untuk menimbulkan kekacauan dan huru hara negara.
Rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana selama ini dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan damai. Jika rakyat masih tidak dapat membezakan antara pemimpin tulen dengan pemimpin narkisistik, dengan mudah rakyat akan terperangkap dengan tipu helah pemimpin narkisistik.
Rasional berfikir dan memilih pemimpin terbaik untuk menerajui negara adalah elemen penting dalam memastikan keamanan negara akan tetap terjamin. Kita tidak mahu rakyat memilih pemimpin yang salah dan apabila menyedari akan kesilapan memilih pemimpin yang salah itu, segala-gala sudah terlambat.
DR. SAPORA SIPON
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
IKLAN@UTUSAN
|