Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
POLITIK

ARKIB : 15/09/2008
Muhyiddin langgar prinsip tanggungjawab bersama

Muhyiddin langgar prinsip tanggungjawab bersama

KUDAT 14 Sept. - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melanggar prinsip sebagai salah seorang menteri Kabinet.

Menurut beliau, sepatutnya Muhyiddin memegang tanggungjawab secara bersama menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bukannya mendesak supaya melakukan peralihan kuasa lebih awal.

''Dalam mana-mana kerajaan, mesti ada prinsip tanggungjawab bersama, apabila seorang menteri tidak ada keyakinan kepada Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan maka dia sudah melanggar tanggungjawab bersama.

''Sama ada dia perlu meletak jawatan atau tidak, itu terserah kepada Tan Sri Muhyiddin berfikir apa yang terbaik untuk dirinya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Sumbangan Ehsan Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO dengan kerjasama Pemuda UMNO Sabah dan UMNO Bahagian Kudat di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Muhyiddin yang mempersoalkan tarikh peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Abdullah kemudiannya menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang dipersetujui Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO pada 2010 adalah muktamad dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Ekoran kenyataan itu, beberapa pihak mendesak Muhyiddin dipecat atau meletak jawatan kerana telah melanggar etika parti.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, sebagai pemimpin Pemuda, beliau melihat apa yang berlaku ialah wujudnya pertikaian terhadap ketua kerajaan.

''Walaupun beliau (Muhyiddin) bercakap dalam konteks Presiden UMNO tetapi harus difahami bahawa Presiden UMNO dan Perdana Menteri adalah orang yang sama.

''Jadi apabila sudah melanggar prinsip kerajaan berkabinet, ia telah menjadi satu yang salah. Saya berharap sebagai generasi muda dalam Pemuda UMNO, mana-mana menteri perlu patuh kepada prinsip dan tanggungjawab bersama Kabinet dan perlu menyokong kepimpinan kerajaan.

''Itu adalah Kabinet Perdana Menteri dan di bawah kuasa mutlak Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan kepada 500 golongan miskin, ibu tunggal dan warga tua dari sekitar daerah Kudat.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN