|
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan tempoh peralihan kuasa ditentukan oleh mesyuarat bahagian dan kemudian dibawa kepada perhimpunan agung parti adalah langkah terbaik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti dan negara berjalan lancar.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik (gambar) berkata, saranan Najib itu adalah selaras dengan Perlembagaan parti yang menetapkan bahawa perwakilan pada perhimpunan agung berhak untuk menentukan siapa yang akan menerajui parti dan kerajaan.
''Pada saya pandangan yang diberikan oleh Najib baru-baru ini adalah wajar kerana pada bulan Disember ini semua mandat yang diberikan kepada Presiden, Timbalan, naib-naib dan ahli-ahli MT akan lupus.
''Jadi baik kita serahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk menentukan kesinambungan kepimpinan parti dan negara pada ketika itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada Jun 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mendakwa, pelan peralihan kuasa yang diumumkan dua bulan lalu itu kini telah 'tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.
Berikutan kenyataan itu pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan kerana melahirkan perasaan tidak berpuas hati itu secara terbuka.
Abdul Rahim berkata, semua pihak hendaklah akur sekiranya ahli di peringkat bahagian dan perwakilan perhimpunan agung memutuskan tempoh peralihan kuasa berkenaan perlu dipercepatkan.
Dalam pada itu beliau berkata, kenyataan terbuka Muhyiddin supaya peralihan kuasa itu disegerakan adalah pandangan peribadi Naib Presiden berkenaan dan dibolehkan selaras dengan proses demokrasi dalam parti.
''Di kalangan ahli dan pemimpin UMNO perlu bersikap terbuka untuk membenarkan pandangan seperti ini dikemukakan walaupun MT telah memberi persetujuan peralihan kuasa pada 2010," katanya.
''Saya rasa tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan dengan pandangan daripada pelbagai pihak kerana kita semua tahu keputusan muktamad akan ditentukan perwakilan pada perhimpunan agung parti," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|