|
KUALA TERENGGANU 10 Sept. – Penubuhan kerajaan baru oleh pakatan pembangkang pada 16 September ini seperti yang digembar-gemburkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin berlaku.
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan pengamatannya sebagai pengamal dan penganalisis politik, beliau secara peribadi membuat kesimpulan bahawa tidak mungkin berlaku perubahan kerajaan pada tarikh itu berikutan kekangan faktor teknikal dan politik.
Jelasnya, secara teknikalnya perubahan sesebuah kerajaan tidak boleh dilakukan melainkan jika ada satu undi tidak percaya terhadap kerajaan atau Perdana Menteri dibawa ke Parlimen.
“Ada dua cara sahaja untuk membuat perubahan kerajaan iaitu sama ada Perdana Menteri letak jawatan yang saya percaya tidak mungkin berlaku atau mesti ada satu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau memberitahu, disebabkan pada 16 September Parlimen tidak bersidang, maka undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak boleh dibawa sekalipun terdapat bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membolehkan sesiapa yang mengusahakan perubahan itu mahu menubuhkan kerajaan baru.
Dari sudut politik pula katanya, tidak pernah berlaku Ahli Parlimen kerajaan lompat parti untuk menyertai pembangkang, sebaliknya semua wakil rakyat yang berbuat demikian sebelum ini adalah dari parti pembangkang untuk menyertai parti pemerintah.
“Terbaru kejadian lompat parti melibatkan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1984, tetapi PBS ketika itu pembangkang dan menyertai parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan mengikut sumber parti itu, orang yang bertanggungjawab terhadap perkara itu ialah Anwar.
“Saya akui Anwar ada pengalaman dalam hal ini tetapi waktu itu beliau berada dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Sebab itu hendak dapatkan tidak kurang 30 orang wakil rakyat supaya lompat parti adalah tidak mudah,” ujarnya.
Menurut beliau, jika diandaikan 30 daripada 140 wakil rakyat BN yang ada sekarang lompat parti dan berlaku undi tidak percaya, ia akan menjadikan Ahli Parlimen BN 110 orang dan pembangkang sebanyak 112 orang termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Pas.
“Kalau Ibrahim melompat ke BN, ini akan menjadikan kedudukan seri 111-111, masih tidak ke mana-manalah, mesti cari bilangan yang lebih daripada itu (30 orang).
“Saya terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak itu (lompat parti). Secara teknikalnya (kerajaan baru) tidak boleh jalan pada 16 September ini,” ujarnya.
Mengenai teori mengatakan perubahan kerajaan boleh dilakukan hanya dengan mengumpul tandatangan Ahli Parlimen yang mencukupi dan dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan Perdana Menteri baru jelasnya, ia tidak boleh dilakukan selagi Perdana Menteri sedia ada tidak dipecat.
Ketika ditanya mengapa sekarang beliau tampil memperkatakan isu ini jelas Mustafa, beliau terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar berikutan keresahan rakyat yang semakin memuncak selain tidak mahu mereka diberi harapan kosong.
Selain itu, katanya, setahu beliau PKR juga tidak pernah merujuk secara rasmi mengenai cadangan pembentukan kerajaan baru dengan Pas, menyebabkan pemimpin parti itu turut tidak membincangkan isu itu dalam mana-mana mesyuarat.
Mengenai sama ada kenyataan beliau boleh merenggangkan hubungan antara PKR dan Pas jelasnya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana masing-masing mempunyai pendapat sendiri dan bebas menyuarakannya selain ia adalah pendapat peribadinya dan bukan atas kapasiti sebagai pemimpin Pas.
“Saya kata (perubahan) tidak akan berlaku. Bila tiba 16 September ini boleh tengok saya betul atau dia (Anwar) betul,” ujarnya.
Beliau menyifatkan isu itu timbul disebabkan keghairahan satu pihak manakala di pihak kerajaan pula panik tidak bersebab sehingga menghantar Ahli Parlimen ke luar negara yang beliau percaya ada kaitan dengan isu itu.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|