Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 08/09/2008
16 September: Psikologi perang saraf pembangkang

16 September: Psikologi perang saraf pembangkang

TARIKH 16 September cukup dinanti-nantikan kerana dicanangkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya pada hari itu sebuah kerajaan baru akan terbentuk kerana terdapat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat menyertai PKR. Dilaporkan kira-kira 30 ahli Parlimen BN akan bertindak sedemikian seterusnya membolehkan pakatan pembangkang membentuk kerajaan baru.

Tidak dapat dinafikan pengakuan pakatan pembangkang untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru itu sesuatu yang amat merangsang imaginasi atau ilusi penyokong-penyokong pembangkang. Dalam masa sama, ia juga merangsang ketakutan dan kebimbangan psikologi yang bukan calang-calang di kalangan pemerintahan dan juga rakyat.

Sama ada hasrat pakatan pembangkang akan betul-betul dapat direalisasikan atau tidak, setidak-tidaknya ia telah menimbulkan satu psikologi perang saraf antara pakatan pembangkang dan BN. Rakyat akan menerima kesan akibat psikologi perang saraf. Dan tentu sekali ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendefinisikan peperangan berbentuk psikologikal sebagai propaganda yang telah dirancang. Begitu juga dengan tindakan psikologi lain yang mana objektif utamanya ialah mempengaruhi pandangan, emosi, sikap dan tingkah laku kelompok asing/luar sehingga dapat menyokong kejayaan dan pencapaian dasar-dasar utama pihak yang merancang.

Sama ada hasrat itu hanyalah satu teknik bluffing strategy yang digunakan oleh PKR untuk mengelirukan musuh politik, ia juga adalah teknik yang biasa sebagai perang saraf yang tidak asing lagi dalam percaturan politik negara kita.

Bagaimanapun, oleh kerana hasrat PKR untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru itu telah diulangi dari semasa ke semasa, ia boleh juga dilihat sebagai satu cubaan manipulasi politik yang agresif dan bercita-cita tinggi untuk menawan kuasa politik dengan mengeksploitasikan pergelutan yang berlaku dalam BN sendiri.

Setidak-setidaknya hasrat pakatan pembangkang itu telah membuatkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan rancangan itu tidak akan berjaya kerana tiada ahli Parlimen BN yang mahu melompat menyertai pakatan pembangkang seperti yang didakwa.

Teknik perang saraf banyak digunakan untuk menawan hati rakyat dan juga menakutkan pihak lawan. Ia dilakukan pemimpin hebat seperti Alexander The Great dan Genghis Khan. Di negara ini, contohnya semasa zaman Darurat dan semasa pihak komunis masih mencetuskan keganasan bagi memastikan keselamatan negara dan rakyat, antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan ialah menerusi operasi Gerak Perang Saraf (GPS).

GPS mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu 'memenangi hati dan minda rakyat' dan 'melemahkan segala usaha yang dilaksanakan musuh'. Bahagian Perang Saraf ditubuhkan untuk memenangi hati rakyat melalui pelbagai cara termasuk tugas yang digalas oleh pegawai penerangan yang dibimbing bagaimana untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

Mereka juga menyalurkan maklumat mengenai program kerajaan serta masalah ekonomi, sosial dan sebagainya.

Perang saraf atau perang psikologi juga dilaporkan digunakan oleh Jeneral Sir Gerald Templer yang menjadi Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu pada Januari 1952. Dalam menjalankan perang psikologi, Jeneral Templer berharap dapat memenangi hati dan fikiran rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usahanya menghapuskan komunis.

Antara langkah perang psikologi yang telah dijalankan ialah pindaan peraturan kewarganegaraan yang membolehkan lebih ramai orang bukan Melayu menjadi warganegara dan proses pilihan raya majlis-majlis tempatan.

Berbalik kepada hasrat pakatan pembangkang untuk menawan kuasa politik melalui tindakan menarik lompatan ahli-ahli parlimen BN, langkah ini telah dikritik sebagai tidak bermoral.

Ini kerana hasrat pengundi perlu disanjung dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan negara kita, hasrat pengundilah yang wajib disanjungi. Jika seseorang wakil rakyat hendak melompat ke pihak lawan, sekurang-kurangnya dia mesti memperolehi persetujuan daripada pengundi yang diwakilinya.

Dalam pergolakan politik yang serba mungkin ini, rasanya pakatan perlu bersedia menghadapi serangan balas dari UMNO dan BN jika pembentukan kerajaan benar-benar berlaku.

Dalam keadaan politik sekarang, apa yang amat perlu dilakukan oleh BN ialah melaksanakan tanggungjawab besarnya kepada rakyat yang telah memberikan mandat kepadanya untuk memerintah pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Perang psikologi boleh dimenangi oleh pihak BN dengan menawan hati rakyat. Dan inilah yang pihak kerajaan sedang usahakan seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa pihak kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab dan mengotakan janji kepada rakyat.

DR. SAPORA SIPON

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN