ARKIB : 05/09/2008
Labu sayong Kuala Kangsar
![]() |
|
Redzuan Hamly bersama sebahagian dari labu sayong yang diusahakan di Wincraft Labu Sayong, Kampong Sayong Tengah, Kuala Kangsar, Perak. - Gambar HANAFI KHAMIS |
KUALA KANGSAR 4 Sept. - Industri labu sayong masih mendapat perhatian bagi sesiapa sahaja yang berkunjung ke Bandar Diraja Kuala Kangsar dan pasti tidak lupa untuk mengunjungi industri yang telah diwujudkan berpuluh tahun yang lalu.
Ini kerana perusahaan tersebut dihasilkan oleh beberapa pengusaha sejak dahulu lagi di beberapa kampung seperti Kampung Sayong di daerah itu.
Namun perusahaan yang menggunakan tangan sebelum ini kini berdaya maju apabila kebanyakan pengusaha menggunakan mesin untuk memproses tanah liat dan membentuk labu sayong.
Bentuk ukiran labu sayong telah mengalami perubahan dengan mengekalkan unsur-unsur tradisional seperti motif bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.
Labu sayong merupakan sejenis bekas tembikar berwarna hitam dan merah yang dihasilkan daripada bahan mentah seperti tanah liat.
Bekas tembikar tersebut digunakan sebagai bekas menyimpan air dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan diukir dengan motif ukiran yang pelbagai.
Seorang pengusaha dari Kampung Sayong Tengah di sini, Redzuan Hamly, 42, berkata, beliau mengusahakan industri warisan itu daripada bapanya, Allahyarham Hamly Mohd. Nahi.
Katanya, beliau mula mempelajari kaedah membuat labu sayong sejak di sekolah rendah sehingga menamatkan persekolahan sehingga tingkatan 5.
''Saya minat dengan industri ini kerana permintaan terhadap kraf tangan tradisional ini begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Redzuan berkata, pengalaman membuat labu sayong yang diusahakan itu ditingkatkan dengan mengikuti beberapa kursus mengenai pembuatannya termasuk di sini dan di Jepun.
Katanya, beliau dihantar oleh kerajaan negeri untuk mempelajari teknik reka bentuk dan pembakaran labu sayong selama setahun di Jepun pada 1983.
"Sekarang teknik pembuatan labu sayong telah berubah dari teknik tradisional iaitu menggunakan tangan kepada teknik moden iaitu penggunaan mesin menghancur dan membancuh tanah.
''Antara teknik tersebut ialah teknik lemparan, acuan dan sepuh.
''Setiap labu sayong yang dihasilkan memerlukan suhu pembakaran iaitu 900 darjah celsius dan dibakar dalam tempoh lapan jam," katanya yang mengusahakan perusahaan itu bersama isterinya, Sudiwati Wajid, 34.
Redzuan menambah, kebanyakan labu sayong yang dihasilkan seperti labu bentuk buah gelugor digunakan sebagai bekas mengisi air minuman.
Selain itu, jenis labu sayong yang lain yang dihasilkan seperti lampu perhiasan, cenderamata, pasu bunga dan sebagainya.
Menurut beliau, setiap labu sayong yang dihasilkan itu dijual pada harga di antara RM1.50 hingga RM120 sebiji mengikut saiz.
Katanya, beliau menghasilkan di antara 40 hingga 70 biji labu setiap hari.
Redzuan berkata, labu yang dihasilkan itu dipasarkan di beberapa negeri termasuk di Johor, Melaka dan Selangor.
''Saya juga membekalkan di antara 400 hingga 500 biji labu sayong setiap bulan untuk pasaran tempatan.
''Saya juga ada membuat labu yang ditempah khusus untuk majlis perkahwinan sebagai barangan cenderahati," katanya.
Sehubungan itu, Redzuan bercadang membuka kedai bagi menjual produk labu sayong yang dimajukan di sini.
Sesiapa yang berminat dengan produknya boleh menghubunginya di talian 019-4357723.
Katanya, pekerjaan ini telah memberi peluang pendapatan kepadanya.
"Saya lebih suka bekerja di sini daripada bekerja di bandar kerana peluang pekerjaan ada di sini," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kraf tangan di bandar ini, Rosli Abd. Halim, 35, berkata, permintaan terhadap labu sayong meningkat dari semasa ke semasa terutama pada musim perayaan.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan labu sayong kerana mempunyai empat pembekal di sini.
Menurut beliau, kebanyakan pelancong asing sudah mengenali labu sayong di sini dan mereka tidak melepaskan peluang untuk membelinya apabila berkunjung ke sini.
"Saya memerlukan di antara 400 hingga 500 biji labu sayong setiap bulan.
"Selain itu, saya juga memasarkan labu ini ke Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah," katanya.
Rosli yakin masa depan industri kraftangan di sini terus berkembang kerana daerah ini terkenal dengan pengeluaran labu sayong di negara ini.
RM500,000 diperuntuk bantu 50 peserta 1Azam Tani Pulau Pinang
70 pelajar ke IPT dibantu
Kakitangan WOU 'cemas' bangunan universiti terbakar
20 keluarga mangsa ribut dibantu
Lim Swee Bok dan Loo Bee Ooi dinobat Tokoh Belia Pulau Pinang
Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong agih 10 spesies terbaik harumanis
YAS bantu 30,000 orang miskin
RM100j naik taraf bekalan elektrik
Tanah Orang Asli diceroboh
80 pelajar tingkatan enam terima dermasiswa Baiduri
Jalan Langgar perlu lampu isyarat
Koperasi Felcra Seberang Perak catat untung RM3.1 juta tahun lalu
Banjir lumpur hantui penduduk Kampung Suluk
Nikmati keindahan paya bakau
Indeks jenayah meningkat
Polis tahan dua lelaki, rampas 60 liter air ketum
Masalah sampah resahkan 25,000 penduduk
150 anggota, kakitangan polis derma darah di Hospital Baling
Bangunkan R&D akuakultur
Waktu Solat Kuala Lumpur |
||||
|
||||











