Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 03/09/2008
BN perlu perubahan jika mahu tarik orang muda

BN perlu perubahan jika mahu tarik orang muda

MENARIK minat golongan muda untuk menyokong pihak kerajaan adalah satu tugas yang jika tidak dijalankan secara serius dan berterusan akan memberi kesan negatif kepada negara. Ini kerana penglibatan golongan muda dalam arena politik dilihat boleh menyumbang kepa- da jatuh bangunnya sesebuah parti pemerintah. Di negara-negara luar seperti Ame- rika Syarikat (AS), Indonesia, Nepal dan Kenya, golongan muda berperanan besar mewarnai senario politik negara.

Di Kenya, golongan muda terlibat dalam parti Madaraka, sebuah parti politik yang memperjuangkan hak-hak kesamarataan dan kebebasan bersuara rakyat Kenya. Objektif utama parti Madaraka ia- lah mewujudkan transformasi sosio-ekonomi dan keamanan yang berterusan di Kenya.

Di Nepal pula, peranan golongan muda dalam arena politik negara itu telah bermula seawal tahun 1951. Pergerakan pro-demokrasi yang dilancarkan terhadap Raja Gyanendra adalah contoh di mana kuasa golongan muda boleh membantu menumbangkan sebuah kuasa beraja. Jelas sekali, kuasa golongan muda dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah parti pemerintahan tidak dapat dinafikan.

Dalam pilihan raya Presiden AS, peratus golongan muda yang berumur di an- tara 18 hingga 24 tahun yang dilaporkan mengundi adalah lebih tinggi pada tahun 2004 berbanding pada tahun 1996 atau 2000. Sebanyak 42 peratus golongan muda dilaporkan mengundi berbanding dengan 32 peratus pada tahun 1996.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan peratus mengundi di kalangan golongan muda merosot pada tahun pilihan raya presiden AS pada tahun 1996 dan 2000. Antaranya ialah mereka merasakan diri mereka tidak dilibatkan dalam proses politik negara.

Satu kajian oleh National Assessment of Educational Progress mendapati bahawa satu pertiga daripada pelajar sekolah tinggi di AS kurang pengetahuan asas bagaimana sistem pentadbiran kerajaan AS beroperasi.

Kajian The New Millennium Report yang dikeluarkan oleh National Association of Secretary of State juga mendapati bahawa golongan muda percaya bahawa kerajaan dan pilihan raya adalah tidak bersangkut paut dengan perkara-perkara yang mereka suka. Oleh itu, mereka lebih berminat untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja komuniti.

Di negara ini, corak pemikiran golongan muda sudah semakin berubah kesan daripada faktor seperti kemajuan teknologi, perubahan gaya hidup, perubahan sistem nilai dan persekitaran. Golongan selepas merdeka kini berjuang atas landasan dan ideologi yang berbeza dengan generasi sebelum itu.

Generasi muda termasuk orang Melayu yang lahir selepas merdeka kini dilihat kurang lagi berminat dengan perjuangan berasaskan perkauman sebaliknya mahu dilayan sama rata sebagai rakyat Malaysia.

Apa yang diinginkan ialah supaya diberikan kebebasan kepada mereka untuk bersuara dan diberikan sokongan dalam bentuk kewangan dan kemudahan secara sama rata untuk membangunkan potensi diri dalam segenap bidang.

Mereka juga inginkan sistem pentadbiran yang lebih telus, beramanah, adil, bersih dan kompeten. Pemimpin parti politik yang jauh daripada rakyat bukanlah pilihan mereka.

Barisan Nasional perlu melakukan perubahan jika ingin menarik minat golongan muda untuk menyokong mereka. Sejarah telah membuktikan bahawa golongan muda boleh mencorakkan dan menentukan siapakah tampuk pemerintahan sesebuah negara.

Dr. Sapora Sipon

Universiti Sains Islam Malaysia

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN