|
PULAU PINANG 1 Sept. - Kerajaan Pulau Pinang akan menimbang cadangan penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 16 September setiap tahun dijadikan cuti umum untuk lima negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sebagai memperingati hari pembentukan Malaysia.
"Perkara ini akan dibincangkan dulu dengan Exco kerajaan negeri kerana ia akan melibatkan operasi pihak industri di negeri ini," kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada pemberita selepas ceramah umum mengenai 'Enzim Sisa Makanan Menyelamatkan Dunia Kita' di Pasar Awam Tanjung Bungah, di sini hari ini.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan cuti umum pada 26 Ogos lepas sempena pilihan raya kecil berkenaan.
"Kalau kita hendak ambil 16 September sebagai cuti umum, mungkin pada tahun depan," kata Guan Eng
Beliau berkata, kerajaan pusat sepatutnya menjadikan 16 September sebagai cuti umum.
Guan Eng juga bersetuju dengan cadangan badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan eksperimen enzim sisa makanan di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.
Beliau berkata, enzim sisa makanan itu berupaya membersihkan kawasan dan sungai tercemar akibat pembuangan sampah isi rumah, kilang dan premis perniagaan.
Enzim yang dihasilkan daripada bahan terbuang seperti kulit buah-buahan mampu menyahtoksin kotoran yang terkandung dalam air.
- Bernama
IKLAN@UTUSAN
|