VERSI : Mobile | Akhbar Digital
17 April 2014 / 17 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 01/09/2008

Perbetulkan makna patriotisme, nasionalisme

ADAKAH rakyat Malaysia hari ini benar-benar faham erti kemerdekaan sehingga wujudnya mesej yang salah kepada generasi muda akan makna kemerdekaan, perpaduan dan bangsa Malaysia sebenarnya?

Pada ketika generasi muda dianggap luntur semangat cintakan negara iaitu patriotisme dan tipis semangat kebangsaan iaitu nasionalisme, ada baiknya kita menilai sejauh mana proses-proses sosialisasi iaitu asuhan kita selama ini kepada mereka yang nampaknya dari setahun ke setahun semakin bercelaru.

Usah salahkan generasi muda jika mereka semakin berkiblatkan budaya dan hiburan dari negara Barat, Hong Kong dan India kerana kita sendiri gagal menanamkan semangat perjuangan dan penghayatan sejarah sebenar ke dalam jiwa mereka.

Begitu juga aspek kenegaraan dan nasionalisme yang terasnya berpegang kuat pada pemilihan satu bahasa sebagai penyatu kepada kepelbagaian ciri kaum dan budaya di sesebuah negara.

Jika aspek ini diberi penekanan seperti yang dapat dihayati melalui dendangan lagu-lagu patriotik dahulu tetapi 'aura' tersebut kini lebih kepada pesta-pestaan semata-mata dengan percampuran budaya dan bahasa dari segi alatan muzik dan senikata yang digunakan.

Malah, ungkapan "perpaduan melalui kepelbagaian" begitu ditekankan sehingga mengabaikan hakikat sebenar pengertian nasionalisme yang terletak pada sejauh mana kita mengukuhkan semangat kebangsaan berteraskan bahasa dan kebudayaan asal sesebuah tanah air.

Ke mana perginya semangat Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang merupakan asas-asas kenegaraan yang disediakan oleh negarawan dan kepimpinan Tun Abdul Razak dalam kita ghairah menyambut kemerdekaan ke-51?

Adakah wajar lagu Muhibah yang asalnya pada dekad 1970-an dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan sahaja dengan antara ungkapannya berbunyi "satu bahasa" dan "hapuskanlah jurang perbezaan" didendangkan semula selepas separuh abad negara ini merdeka dalam bahasa Cina dan Tamil seperti yang dapat disaksikan dalam perbarisan di Dataran Merdeka pagi semalam?

Walhal, keadaan tersebut samalah seperti tindakan sebuah parti politik menaikkan papan tanda jalan pelbagai bahasa di Pulau Pinang yang sebenarnya mahu menyamatarafkan bahasa kebangsaan dengan bahasa-bahasa vernakular yang lain.

Jika demikian halnya, apa ertinya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sedangkan dalam acara perbarisan kemerdekaan yang merupakan satu program rasmi pun, bahasa-bahasa lain diangkat sama taraf dengan bahasa kebangsaan?

Begitu juga apabila meneliti iklan-iklan kemerdekaan yang disiarkan dalam akhbar tahun ini. Amat membimbangkan jika sebahagian besar iklan tersebut dijadikan pengukur sejauh mana tahap pemahaman rakyat terhadap konsep bangsa, perpaduan dan kemajuan.

Dalam konteks bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum ini mesti ada satu faktor pengikat kepada erti sebenar perpaduan. Mustahil perpaduan boleh dicapai jika wujud terlalu banyak kepelbagaian tanpa kawalan. Sedangkan dalam alunan lagu pun jika terlalu banyak alat muzik yang digunakan, lagu yang didengari pasti kedengaran tidak harmoni di telinga apatah lagi dalam konteks kita sebagai bangsa Malaysia.

Itulah sebabnya, kepelbagaian kaum di negara ini perlu diletakkan landasannya pada bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan yang paksinya terletak pada kemelayuan sebagai teras seperti mana yang terkandung dalam pelaksanaan dasar-dasar kebangsaan yang digariskan sebelum ini.

Jika tidak, sampai bila pun perpaduan yang dihajatkan tidak akan tercapai sebaliknya jurang interaksi antara kaum semakin melebar lantaran penekanan yang salah terhadap konsep dan tindakan kita tentang kemerdekaan, perpaduan negara bangsa, pembentukan bangsa Malaysia serta nilai patriotisme dan nasionalisme.

MOHD. ARIF ATAN

Universiti Malaya

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:16
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.