VERSI : Mobile | Akhbar Digital
18 April 2014 / 18 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 19/08/2008

Dulu kuli, sekarang tauke keluli


JAMHURI menunjukkan sebahagian produk keluli tahan karat untuk restoran dan kafetaria.


SETELAH hampir dua tahun menganggur kerana kilang tempat dia bekerja ditutup pada 1999, terfikir juga di hatinya apa yang hendak dibuat selepas ini untuk mencari nafkah hidup.

Dua tiga kali berpindah tempat kerja tidak memberi jaminan untuk masa depan, tambahan pula jiwanya lebih dekat kepada pembuatan keluli tahan karat.

Mengharapkan pendidikan, itu dia tidak punya, malah berbahasa inggeris juga dia tidak tahu. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Tapi itu bukan penghalang untuk berjaya, fikir Jamhuri.

Namun ilmu yang sedikit ada di dada dan minat yang mendalam terhadap bidang pembuatan keluli tahan karat menyebabkan Jamhuri mengambil keputusan meneruskan kerjaya tersebut walaupun sedar pelbagai cabaran akan dihadapi.

Berbekalkan pengalaman bekerja sebagai pembuat perkakas keluli tahan karat dengan beberapa syarikat, Jamhuri Abd. Rahman, 40, bertekad menyahut cabaran menjadi pembuat peralatan keluli tahan karat yang dikagumi.

Tahun 2000 menyaksikan Jamhuri mula bangkit untuk menebus kegagalannya dengan nekad akan menempuh segala cabaran yang bakal datang.

Pada 2003, ekonomi negara mengalami kejatuhan tetapi itu tidak melemahkan semangat Jamhuri. Keadaan kembali normal pada 2004.

Dalam kepayahan Jamhuri yang ketika itu menjadi tempat bergantung ibu dan adik-adiknya berusaha mengumpul modal untuk membuka perniagaan sendiri.

Dengan pengalaman yang ada, Jamhuri memulakan langkah menjual produk keluli tahan karat berkonsepkan ‘buat satu, jual satu.’

Konsep ini nyata membawa pulangan yang baik kepada Jamhuri. Setiap hari dia akan berusaha menyiapkan satu produk yang kemudian dijual keesokan harinya.

Begitulah hari-hari berlalu, sehingga dia mampu melipatgandakan jumlah produk yang dihasilkan.

Pada masa yang sama, sedikit sedikit sedikit Jamhuri mengumpul wang untuk di jadikan modal membesarkan lagi perniagaannya.

Hajatnya dimakbulkan Tuhan. Penat lelah berbaloi apabila Greatcool Sdn. Bhd. (Greatcool) berjaya ditubuhkan dengan modal berbayar RM100,000 pada 2004.

“Sampai bila saya harus bekerja dengan orang. Saya juga ingin berjaya dalam hidup. Sebab itu saya berusaha sehingga berjaya memiliki kilang sendiri,’’ kata Pengarah Urusan Greatcool ini ketika ditemui di kilangnya di Kuala Selangor, baru-baru ini.

Penubuhan syarikat ini memberi suntikan semangat kepada Jamhuri untuk terus mereka mencipta pelbagai produk keluli termasuk peralatan dapur dan sink aneka jenis.

“Di peringkat awal memang saya menghadapi banyak cabaran terutama sumber kewangan, tetapi lama kelamaan semua itu dapat diatasi.

“Saya bersyukur kerana diberi kekuatan untuk mengatasi cabaran ini tanpa sebarang masalah besar,’’ tambah Jamhuri.

Kini, Jamhuri boleh berdiri seiring dengan ahli perniagaan lain yang telah berjaya. Biarpun memilih bidang yang tidak glamor, Jamhuri yakin setiap usaha pasti ada hasilnya.

Daripada sekecil-kecil produk, kini Greatcool berjaya menghasilkan peralatan dapur yang digunakan di restoran, hospital, kantin dan juga kediaman.

Ibarat dari bertatih, Jamhuri berjalan dan kini sudah mampu berlari untuk terus mengejar impiannya memiliki sebuah kilang keluli tahan karat berkualiti dan terkenal di persada dunia.

Kepada Greatcool Jamhuri menaruh harapan untuk membesarkan empayar keluli tahan karat yang dimilikinya yang kini menjadi syarikat milik bumiputra tunggal di Malaysia.

‘’Syukur kepada Tuhan kerana segala penat lelah saya berbaloi..,’’ katanya tersenyum.

Daripada modal RM100,000, kemudian meningkat kepada RM350,000 dan kini mencecah jutaan ringgit, Jamhuri tidak pernah mendabik dada.

Kilangnya kini mampu mengeluarkan peralatan keluli tahan karat seperti dapur untuk memasak burger, roti canai, nasi ayam, kawah keluli untuk hospital dan restoran, cerombong dan penyedut asap serta tempat menyimpan kuih-muih dan kuih pau. Kebanyakan tempahan diterima daripada mereka yang dalam proses membuka kafetaria.

“Malah dari masa ke semasa kilang ini akan terus mereka cipta pelbagai peralatan baru untuk pelanggan membuat pilihan,’’ katanya.

Seperti orang lain yang ingin melihat anak bangsa maju dan berjaya, Jamhuri turut menyimpan impian untuk melatih para belia yang berminat dalam bidang ini.

“Saya ingin berkongsi kemahiran saya dalam bidang keluli tahan karat dengan generasi muda agar mereka mampu menjadikan bidang ini sebagai kerjaya mereka.

“Sehubungan itu saya mengalu-alukan para belia yang ingin menceburi bidang ini datang ke kilang saya untuk menghadiri kursus secara percuma.

“Malah jika yang ada minat bekerja, saya juga sanggup mengambil mereka bekerja sambil belajar serta melatih mereka sehingga berjaya menjadikan ia satu kerjaya untuk masa depan mereka,’’ katanya.

Jamhuri juga turut menerima tempahan daripada pelbagai pihak antaranya syarikat-syarikat, korporat dan individu berminat.

Bagaimanapun, katanya, tempahan daripada pihak kerajaan agak sukar kerana terpaksa melalui orang tengah.

Dilahirkan di Teluk Intan Perak, anak sulung kepada adik beradik seramai lima orang ini telah banyak berkorban untuk keluarganya.

Mengimbas kembali kehidupan masa mudanya, Jamhuri berkata, dia berhenti sekolah semasa di tahun lima kerana kasihan melihat ibunya menoreh getah seorang diri setiap pagi.

“Selain kasihankan ibu saya juga bimbang akan keselamatannya di kebun getah. Maklumlah ketika itu hutan tebal, bimbang dibaham binatang buas,’’ katanya tenang.

Nasibnya bertuah kerana dalam usia remaja dia sudah mendapat kerja di sebuah kilang membuat peralatan keluli tahan karat. Di situlah minatnya bermula. Dari masa ke semasa dia terus menimba ilmu dalam bidang tersebut untuk meningkatkan pengetahuannya.

Pengalaman dalam bidang keluli tahan karat juga telah membawanya ke beberapa buah negara seperti China, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Filipina untuk menimba ilmu berkaitan.

Jamhuri berbangga kerana kilang keluli tahan karat yang di usahanya kini muncul sebagai kilang keluli bumiputera yang unggul di Malaysia.

Kilang tersebut mempunyai 15 pekerja dan 20 lagi menunggu untuk memulakan kerja dalam masa terdekat bergantung kepada perkembangan tempahan dan kerja.

Kejayaan syarikat tunggal keluli milik bumiputera ini terbukti di peringkat antarabangsa apabila sebuah syarikat dari Dubai bercadang membuat tempahan nilai yang cukup tinggi.

Malah wakil syarikat Dubai tersebut telah datang melawat dan bersedia memberi suntikan modal jika segala perancangan dipersetujui.

Bagi mereka ingin membuat tempahan Jamhuri mempelawa ke kilangnya di Lot 170, Batu 24/4, Jalan Klang, Asam Jawa, Kuala Selangor. Syarikat ini juga boleh dihubungi di talian 03-3281 1461 untuk sebarang pertanyaan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:15
Asar 4:27
Maghrib 7:21
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.