|
SIKAP penyokong ganas parti politik tertentu dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh jelas memberi isyarat bahawa ketaksuban kepada pemimpin dan parti politik tertentu adalah sesuatu yang bakal melahirkan masyarakat yang bobrok berpolitik.
Ketaksuban ini yang diterjemahkan dalam bentuk emosi dan tingkah laku yang tidak menggambarkan ciri-ciri masyarakat Timur yang penuh beradab begitu menakutkan.
Tentunya, sikap emosi dan tindakan yang keterlaluan bukanlah ciri-ciri baik bagi mana-mana pemimpin dan juga pengikut mereka dalam negara yang sibuk menuju ke arah pembinaan modal insan kelas pertama.
Emosi dan tingkah laku keterlaluan ketika berkempen politik wajar diketepikan dalam melahirkan budaya berpolitik yang sihat. Menghormati hak orang lain dan juga undang-undang negara adalah perlu dalam keghairahan memastikan kemenangan berada di pihak mereka.
Jika calon yang bertanding sememangnya hebat, penyokong calon tersebut tidak perlu melakukan provokasi yang tidak sewajarnya ke atas pihak lain.
Sikap ganas dalam berkempen politik boleh menyebabkan wujudnya kekeliruan, persepsi negatif dan prejudis di kalangan rakyat akan nilai-nilai moral berpolitik dan berkempen politik di negara ini.
Menyerang, mengejek-ejek dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya bukanlah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh mana-mana penyokong parti politik.
Rakyat tentunya tidak mendapat nilai pengajaran yang baik daripada peristiwa ini. Apa yang mungkin dipelajari ialah betapa politik boleh melahirkan ketaksuban yang membinasakan.
Senario politik negara kini berhadapan dengan pelbagai isu hingga menyebabkan kekeliruan dan boleh membentuk ancaman gangguan terhadap masyarakat. Tingkah laku sesetengah pemimpin politik yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa jelas memberi persepsi bahawa politik adalah "siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana".
Dengan apa yang berlaku di gelanggang politik di tanah air, kekeliruan banyak tercetus di fikiran rakyat tentang akan arah tuju politik negara.
Konflik politik yang berlebihan boleh mengganggu-gugat ketenteraman psikologi rakyat. Sesuatu yang mungkin kurang disedari oleh sesetengah ahli politik di negara ini ialah betapa tingkah laku dan kegilaan mereka untuk mendapatkan kuasa benar-benar boleh menimbulkan kebencian dan keresahan rakyat.
Pergelutan kuasa, ketidakupayaan untuk bersatu dalam hal-hal keutamaan rakyat, keangkuhan untuk tidak berjuang nasib rakyat atas sebab prinsip-prinsip parti dan pergaduhan sesama mereka se- benarnya adalah satu manifestasi kegagalan beberapa ahli politik sebagai pemimpin.
Atas sebab-sebab kegilaan kuasa, mereka juga gagal untuk memahami, merasai dan berempati dengan apa yang sebenarnya diinginkan oleh rakyat.
Generasi muda banyak belajar melalui proses melihat dan mengamati. Sekiranya persekitaran budaya politik negara adalah bobrok, tidak banyak proses pembelajaran dan tauladan baik yang boleh dipelajari oleh golongan muda dalam usaha menjadi pemimpin yang berjaya.
Negara tidak boleh mempunyai terlalu banyak konflik dalam politik. Walaupun konflik dalam politik memang sering berlaku, tetapi jika terlalu banyak boleh memberi ancaman kepada rakyat.
Tidak apa yang boleh dipelajari atau diselesaikan dalam konflik politik. Yang ruginya adalah rakyat. Ramai akan bersetuju konflik politik dengan mudahnya boleh tumbang menjadi 'zero-sum game,' di mana tiada yang dipelajari atau diselesaikan, melainkan menentukan "siapa menang, siapa tewas."
Ahli politik juga perlu sedar bahawa apabila perasaan cuak dan kebencian rakyat terhadap mereka sudah tidak terbendung akibat daripada kecuaian mereka berjuang untuk rakyat, keberangkalian rakyat akan menolak mereka akan wujud. Senario ini diharapkan tidak akan berlaku.
Natijahnya, pemimpin politik wajar sedar bahawa mereka perlu menjadi pemimpin yang berkesan sehingga dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Mana-mana pemimpin atau parti politik yang bijak mengaburi mata rakyat melalui tema perjuangan mereka sedangkan mereka hanya berpolitik untuk mendapatkan kuasa adalah pemimpin yang mengkhianati rakyat dan bangsanya sendiri.
Pemimpin yang terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa juga sewajarnya menyedari bahawa sikapnya itu menjadi kebencian rakyat.
Dr. Sapora Sipon
IKLAN@UTUSAN
|