VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 September 2014 / 29 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SABAH & SARAWAK

ARKIB : 18/08/2008

Jesselton dalam kenangan


Suasana Jesselton sekitar tahun 1960-an yang kini membangun sebagai Kota Kinabalu, salah sebuah bandar raya maju di Malaysia.


KOTA KINABALU 17 Ogos - Jesselton yang satu ketika dahulu berupa bandar mati tetapi kini berubah menjadi bandar raya Kota Kinabalu yang hidup, meninggalkan banyak memori indah kepada penduduk Sabah.

Diasaskan oleh Syarikat Borneo Utara British selepas pusat pentadbirannya di Pulau Gaya musnah akibat kebakaran, Jesselton menjadi ibu negeri ketiga syarikat tersebut pada 1946 selepas Sandakan dan Kudat.

Terletak di antara bukit-bukau dan laut, ia pada mulanya dinamakan Api-Api sempena kebakaran di Pulau Gaya itu.

Ia kemudian dinamai pula Jesselton, sempena nama Sir Charles Jessel yang ketika itu bertugas sebagai timbalan pengurus Syarikat Borneo Utara British.

Sejarah mercu tanda pembangunan Jesselton yang masih tegak hingga ke hari ini ialah Jesselton Hotel, bangunan Kastam, Hongkong and Shanghai Bank, Chartered Bank, dewan orang ramai Kota Kinabalu, panggung Capital, bangunan Pelancongan Sabah dan perkhidmatan keretapi.

Mercu tanda itu wujud sebelum Borneo Utara memasuki Malaysia pada 16 September 1963 yang kemudian dikenali sebagai Sabah.

Abdullah Hussin, 76, masih terkenang kehidupan indah yang dilaluinya pada zaman dahulu.

''Saya masih ingat di awal 1950-an, saya sering keluar bersama kawan-kawan dari pelbagai kaum Melayu, Kadazandusun mahupun Cina dan bermain snuker di Jesselton. Kadang-kadang kami pergi 'aramati' (parti) bersama-sama.

''Masa itu, saya tinggal di rumah papan di pusat bandar. Saya bekerja sebagai buruh di syarikat getah Sun Lee. Masa itu seronok, tetapi sekarang yang tinggal hanya kenang-kenangan,'' katanya kepada Bernama.

''Masa itu gaji saya hanya RM80, tetapi ia lebih dari cukup. Malah saya masih ada duit untuk berseronok pada hujung minggu.

''Semuanya murah. Harga gula baru 10 sen atau 20 sen sekati (600 gram),'' tambahnya.

Abdullah berkata, dia datang ke Jesselton menaiki kapal kargo di awal 1950-an untuk mencari kerja.

''Masa itu belum ada jalan dari Kudat ke Jesselton, Bila saya sampai di Jesselton, saya lihat hanya ada beberapa rumah kedai papan beratap rumbia, juga beberapa rumah nelayan yang dibina di atas tiang tinggi.

''Selepas 1957, baru banyak bangunan batu. Di tengah bandar ada panggung Capital. Memang orang dulu suka tengok wayang, termasuk yang datang dari Kampung Tanjung Aru, Sembulan dan Likas,'' katanya.

Selama 55 tahun dahulu, Abdullah berkata, Jesselton akan menjadi sunyi mulai pukul 7 malam.

''Tapi tak perlu takut apa-apa, walaupun kita keluar pada sebelah malam, tak ada siapa yang kacau kita. Peniaga boleh letak pisang mereka (di pasar) di sebelah malam, tapi di sebelah siang masih ada lagi di situ. Tak pernah ada pencuri dan perompak,'' katanya.

Tetapi menurut Abdullah, pembangunan sangat berkurangan di Jesselton pada ketika itu, hanya mula berubah apabila Sabah memasuki Malaysia.

Kerajaan melabur berjuta-juta ringgit untuk membangunkan Jesselton sebagai pusat pentadbiran.

Jesselton dinamai Kota Kinabalu pada 30 September 1968 dan diisytihar sebagai bandar raya pada 2 Februari 2000.

Kota Kinabalu kini berkembang pesat sebagai pusat kewangan, ekonomi dan pelancongan serantau terutama di Kawasan Pertumbuhan Asia Tenggara - Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Ia kini memiliki banyak hotel mewah seperti Sutera Harbour Resort dan Shangri-la Tanjung Aru Resort, jalan raya yang lebar dan panjang, bangunan moden seperti bangunan Yayasan Sabah, pasar raya besar 1 Borneo dan bangunan Center Point.

Bagi generasi sekarang, Mohamad Awang, 50, dari Kampung Sembulan Lama, berkata: ''Kita boleh melihat banyak perubahan dalam semua bentuk pembangunan termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

''Di Kota Kinabalu sendiri, kita ada banyak sekolah rendah, menengah dan Universiti Malaysia Sabah, hospital Queen Elizabeth, lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu yang baru dan tidak lama lagi perkhidmatan keretapi yang dinaik taraf,'' katanya.

Namun Mohamad berharap Kampung Sembulan Lama yang terletak di pinggir Kota Kinabalu, akan dijadikan perkampungan Melayu tradisional.

''Walaupun kita menuju perubahan, kekayaan pelbagai budaya, amalan serta adat resam perlu dikekalkan,'' katanya.

Pengarah Arkib Negeri, Datu Tiga Belas, Datuk Zainal Abidin berkata, sejarah Jesselton adalah penting untuk dihayati bukan sahaja kepada penduduk bandar raya ini tetapi juga rakyat Sabah keseluruhannya.

Sehubungan itu acara khas 'Jesselton Dalam Kenangan' akan diadakan esok sempena sambutan kemerdekaan negara tahun ini untuk rakyat mengingati kembali Jesselton sebagai ibu evolusi Sabah.

''Kita akan pamerkan kepada orang ramai ratusan rekod sejarah termasuk gambar lama berhubung Jesselton di Wisma Pertanian,'' katanya.

- Bernama

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:47
Zohor 1:08
Asar 4:15
Maghrib 7:10
Isyak 8:19


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.