Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 07/08/2008
Tiada rancangan sabotaj Anwar

Tiada rancangan sabotaj Anwar

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak pernah merancang untuk mensabotaj kempen Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengeluarkan sapina pada tarikh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diumumkan.

Menurut Perdana Menteri, beliau atau kerajaan tidak meminta agar perkara itu dilakukan pada satu hari yang sama.

Menurut beliau, apa yang berlaku hanyalah kebetulan.

"Saya sudah cakap dari awal lagi, kedua-duanya (pilihan raya dan kes liwat) adalah isu yang berasingan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri turut melahirkan kekecewaan kerana terlalu banyak andaian negatif tersebar dalam setiap langkah yang diambil berkaitan isu liwat atau pilihan raya kecil itu.

Katanya, tidak pernah ada satu versi untuk satu perkara, sebaliknya akan timbul empat, lima atau sehingga 10 versi bagi sebarang tindakan yang diambil.

"Kalau tidak umum tarikh pilihan raya, orang akan kata kenapa tidak umum, takut apa, buat awal pun timbul soalan," katanya.

Beliau juga kecewa kerana semua pihak menumpukan perhatian kepada Anwar semata-mata tanpa menyedari bahawa pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga sedang menuntut keadilan atas dakwaan yang dirinya diliwat.

Perdana Menteri memberitahu, Saiful juga memerlukan keadilan bagi dirinya.

"Anda hanya melihat pada satu bahagian sahaja," katanya.

Beliau turut menafikan bahawa dakwaan liwat melibatkan Anwar sengaja dirancang bagi memesongkan perhatian rakyat daripada pelbagai masalah yang sedang dialami oleh kerajaan ketika ini.

Menurutnya, sebarang masalah yang dihadapi kerajaan tidak akan dapat dialihkan dengan hanya mewujudkan masalah liwat melibatkan Anwar.

Katanya, tindakan mendakwa Anwar dirumuskan melalui siasatan polis dan bukan sengaja direka-reka.

Malah, Perdana Menteri berkata, beliau telah memaklumkan sejak awal lagi kepada pihak polis supaya mendakwa Anwar jika mereka mempunyai bukti dan menggugurkan tuduhan jika sebaliknya berlaku.

"Polis mempunyai tanggungjawab untuk melakukan siasatan," katanya.

Ditanya jika kerajaan bimbang mungkin berlaku demonstrasi jika Anwar didakwa esok, beliau meminta Penasihat PKR itu sendiri mengawal para penyokongnya.

Jelas beliau, Anwar perlu meminta para penyokongnya agar bertenang dan memberitahu mereka bahawa beliau bersedia untuk berhadapan dengan tuduhan itu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN