|
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya tidak mencampuri urusan pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, Kuala Lumpur tidak memerlukan 'orang luar' untuk menguruskan pembangunannya kerana sudah wujud kementerian untuk melaksanakannya.
Malah, katanya, pihak berkuasa tempatan di bawah kementerian itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbukti sebagai satu organisasi pengurusan bandar raya yang cemerlang.
Justeru itu, tegasnya, lebih baik Abdul Khalid menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah di negeri Selangor daripada 'membantu' Wilayah Persekutuan terutamanya berkaitan Kampung Baru.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 kali ketiga anjuran MIC di sini semalam.
Saravanan berkata, kisah Kuala Lumpur milik negeri Selangor adalah kisah lama dan kini ibu negara adalah milik kerajaan Persekutuan dan sudah mempunyai kementerian untuk menguruskan pembangunannya.
"Menteri Besar Selangor tidak perlulah masuk campur dengan memberi peruntukan tersebut memandangkan masih banyak lagi masalah di negeri Selangor yang masih belum beliau selesaikan," katanya.
Saravanan berkata, DBKL telah merangka KLCP 2020 mengikut perancangan yang telah ditetapkan termasuk memajukan Kampung Baru demi kepentingan penduduknya.
Sehubungan itu, beliau berharap Abdul Khalid dapat membuktikan dirinya berwibawa dalam membangunkan Selangor terlebih dahulu sebelum membantu penduduk Kampung Baru tersebut.
IKLAN@UTUSAN
|