|
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencampuri urusan pentadbiran dan pembangunan Wilayah Persekutuan dilihat sebagai satu tindakan yang tidak profesional.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Baharim Razak berkata, tindakan tersebut juga boleh dilihat sebagai cubaan menafikan kemampuan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Kementerian Wilayah Persekutuan menguruskan bandar raya ini.
"Kuala Lumpur telah mempunyai seorang Datuk Bandar dan Menteri dan rasanya tidak perlulah lagi ditambah seorang lagi Datuk Bandar atau Menteri.
"Saya sebenarnya lebih melihat tindakan Abdul Khalid itu sebagai perancangan beliau untuk memperkukuhkan politiknya untuk jangka masa panjang," katanya ketika diminta mengulas tindakan Abdul Khalid menghadiri majlis pertemuan dengan penduduk Kampung Baru pada Ahad lalu.
Baharim berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan tentunya telah mempunyai perancangan bagi memajukan ibu negara termasuk Kampung Baru demi kepentingan penduduknya.
Justeru, tegasnya, Abdul Khalid tidak perlu mencampuri urusan pembangunan di ibu kota khususnya Kampung Baru kerana Datuk Bandar Kuala Lumpur lebih tahu apa yang dirancang untuk penduduk kawasan itu.
Katanya, beliau yakin Datuk Bandar telah mengambil kira semua perkara dalam merangka Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 dan tidak akan membuatkan orang Melayu terpinggir.
"Dasar pembangunan orang Melayu memang sudah digariskan dan menjadi keutamaan dalam dasar pembangunan negara, mana mungkin Datuk Bandar boleh melanggar dasar ini," jelas anak jati Kampung Baru itu.
Beliau seterusnya meminta Menteri Besar Selangor itu supaya menjaga kepentingan orang dan peniaga-peniaga Melayu di Selangor supaya mereka dapat hidup dengan lebih selesa bawah pentadbiran kerajaan pimpinannya.
Baharim berkata, tindakan Abdul Khalid menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 untuk menjalankan kajian termasuk terhadap status tanah di Kampung Baru sebagai tidak perlu.
"Penduduk Kampung Baru tidak mahu duit itu kerana kami tidak memerlukan duit itu. Lebih baik duit itu diberi kepada rakyat Selangor.
"Ini kerana, Kementerian Wilayah Persekutuan sudah menyediakan RM450 juta untuk pembangunan Kampung Baru dan RM50 juta untuk pembangunan Pasar Minggu Kampung Baru," katanya.
Beliau berkata, Abdul Khalid tidak perlu untuk menjadi hero di Kampung Baru kerana ada pihak yang sudah lama membela nasib penduduk kampung Melayu tertua di ibu negara itu.
"Atau mungkin beliau hanya untuk membuktikan kehebatannya membantu rakyat sehingga terkeluar dari sempadan negeri," jelasnya.
Ditanya mengenai nasib penjaja-penjaja di Pasar Minggu Kampung Baru yang didakwa dipinggirkan daripada pembangunan Kampung Baru, Baharim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Ujarnya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL telah merancang pembangunan yang mampan demi kepentingan penjaja-penjaja Melayu di pasar minggu tersebut.
"Perancangan KLCP 2020 untuk membangunkan Pasar Minggu Kampung Baru itu bertujuan untuk menaik taraf penjaja-penjaja berkenaan kepada tahap yang lebih baik.
"Ini kerana Pasar Minggu berkenaan akan dijadikan salah satu kawasan tumpuan pelancong-pelancong antarabangsa untuk dikunjungi.
"Apabila kawasan tersebut telah dimajukan dan dipromosikan sebagai kawasan pelancongan, peluang peniaga-peniaga kecil ini akan lebih cerah," katanya.
IKLAN@UTUSAN
|