|
PEKAN 3 Ogos - Lembaga Disiplin UMNO akan menentukan sama ada seseorang calon itu layak bertanding merebut sebarang jawatan pada pemilihan parti walaupun Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendapatinya terlibat dalam perbuatan sogokan wang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lembaga itu juga akan mengkaji segala tindakan dan keputusan yang dibuat oleh BPR terhadap calon yang disiasat rasuah.
''Kita (UMNO) ada dua pilihan untuk mencegah politik wang iaitu menerusi BPR dan Lembaga Disiplin parti," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada karnival memancing di Kuala Pahang di sini hari ini.
Najib mengulas tindakan BPR menahan calon Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mohd. Nor Awang kerana disyaki memberi sogokan wang kepada seorang ahli parti itu untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, Mohd. Nor ditahan ketika memberi sogokan RM500 kepada ahli berkenaan di Seremban pada pukul 4 petang semalam.
Mengulas lanjut, Najib berkata, MT UMNO memberi kuasa sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan terhadap ahli yang terbabit dalam politik wang.
''Kita beri kuasa termasuk dari segi siasatan dan membuat penilaian tentang kes yang dikemukakan kepada Lembaga Disiplin parti," jelasnya.
Mengenai kes politik wang yang sukar dibuktikan beliau memberitahu, Lembaga Disiplin parti lebih arif untuk menilai sesuatu perbuatan yang dianggap sogokan atau sebaliknya.
''Biasanya Lembaga Disiplin membuat keputusan berdasar bukti yang sahih. Lembaga Disiplin tidak akan sewenang-wenang menjatuhkan hukuman terhadap ahli parti tanpa bukti yang kukuh," tegasnya.
Mengulas kenyataan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir yang bimbang gejala politik wang dan penyelewengan di peringkat cawangan Pemuda menggelapkan peluangnya bertanding jawatan ketua pergerakan itu, Najib menyarankan Ahli Parlimen Jerlun itu perlu membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|