VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 September 2014 / 6 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
POLIS & TENTERA

ARKIB : 28/07/2008

Unit Selam Tempur - miliki kemahiran ala komando


FORMASI Unit Selam Tempur Polis Marin yang lengkap bersenjata automatik ketika menjalankan gerakan. - Gambar HAMZAH SARAH


TIGA lelaki bersenjatakan pistol automatik telah menggemparkan para penghuni sebuah pusat peranginan di Pantai Timur, apabila mereka menyerbu dan menculik pemilik chalet berkenaan untuk dijadikan tebusan.

Penjenayah-penjenayah yang menaiki sebuah bot telah menyerbu chalet berkenaan sambil melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan para penghuni di situ bertempiaran menyelamatkan diri.

Kumpulan penjenayah bertopeng itu pada mulanya cuba merompak pemilik chalet berkenaan bersama isterinya.

Namun, disebabkan ketika itu mangsa tidak mempunyai wang tunai yang banyak, para penjenayah terbabit telah menculik mangsa dan mengugut supaya isteri mangsa menyerahkan wang tebusan berjumlah RM500,000.

‘‘Kalau hendak suami awak selamat, serahkan wang RM500,000.

‘‘Jika tidak awak hanya dapat mayat suami awak sahaja,’’ ugut seorang daripada tiga lelaki berkenaan sebelum mereka melarikan diri.

Wanita berkenaan akhirnya terpaksa menghubungi polis dan memaklumkan suaminya, Ahmad Ali telah dijadikan tebusan.

Bertindak atas maklumat risikan, sebuah bot peronda polis marin berjaya mengesan sebuah bot menggunakan enjin berkuasa tinggi dan disyaki dinaiki tiga penjenayah berkenaan bersama seorang tebusan.

Arahan dari bilik gerakan polis ialah untuk menahan dan memeriksa bot berkenaan.

Kehadiran bot peronda polis marin untuk pemeriksaan itu sebaliknya telah dibalas dengan beberapa das tembakan dan letupan bom.

Bot penjenayah berkenaan kemudian dikesan melarikan diri serta bersembunyi di sebuah pulau berhampiran.

Ekoran itu, polis marin telah menggerakkan Unit Selam Tempur bagi menyelamatkan tebusan berkenaan serta menumpaskan penjenayah terbabit.

Operasi menyelamat
Anggota-anggota Unit Selam Tempur yang memulakan operasi menyelamat, bertindak menyelam ke dasar laut untuk sampai ke pulau berkenaan.

Mereka kemudian menyusup secara senyap ke tempat persembunyian penjenayah untuk membebaskan tebusan terbabit.

Ketika menyerbu sebuah pondok di pulau berkenaan, berlaku kejadian berbalas tembak dan Unit Selam Tempur akhirnya berjaya menyelamatkan tebusan berkenaan.

Manakala tiga penjenayah bersenjatakan pistol itu berjaya ditumpaskan dan kesemua anggota keselamatan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semua kejadian yang berlaku ini sebenarnya merupakan latihan pasukan polis Marin Wilayah Timur yang diadakan di Pulau Kapas, Terengganu, baru-baru ini.

Latihan yang dilakukan penuh rapi dan dramatik ini dengan adegan seolah-olah satu kejadian benar, disaksikan sendiri oleh Komander Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner II, Isa Munir dan Ketua Polis Marin Wilayah Timur, Asisten Komisioner Mohd. Saleh Mat Jani.

Secara langsung, latihan menyelamatkan tebusan itu berjaya dilakukan dengan berkesan dan menyakinkan.

Isa berkata, latihan sedemikian sentiasa dilakukan memandangkan peranan polis marin amat penting dan sentiasa mengikut perkembangan semasa.

‘‘Peranan dan tugasan polis marin ini bukan sahaja meliputi Semenanjung, malah di Sabah dan Sarawak juga,’’ katanya.

Memandangkan penugasan polis marin semakin penting terutama ekoran kewujudan beberapa zon pembangunan ekonomi dan perindustrian seperti Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, maka polis marin dilihat terus berusaha menambah baik kemahiran sedia ada.

Kewujudan kawasan-kawasan pembangunan baru di bawah rancangan kerajaan ini sekali gus memerlukan jaminan keselamatan.

Ekoran itu, kehadiran pasukan polis marin, secara langsung mampu memastikan perancangan kerajaan itu berjaya dilaksanakan dan pada masa sama menyakinkan para pelabur terhadap ekonomi negara.

Isu-isu semasa yang berlaku juga menampakkan betapa peranan polis marin amat penting.

Pencerobohan nelayan asing
Ini termasuklah isu seperti perebutan kawasan sempadan antara negara, pencerobohan nelayan asing, penyeludupan dan sebagainya.

Semua perkembangan dan keadaan ini, secara tidak langsung memperlihatkan perlunya pasukan polis marin terus berkembang dan ditingkatkan lagi kemampuannya.

Ia bakal melibatkan aset-aset terkini selain kemampuan anggota-anggota polis marin dengan memiliki kemahiran serta kepakaran tertentu.

Sehubungan itu, kewujudan Unit Selam Tempur polis marin dilihat antara langkah awal ke arah memantapkan lagi pasukan berkenaan.

Isa berkata, unit berkenaan mempunyai peranan yang luas termasuk dalam tugas-tugas mencari dan menyelamat (SAR).

Selain itu, polis marin difahamkan dalam perancangan untuk melatih anggota-anggota unit selam tempurnya supaya mereka mempunyai kemahiran yang pelbagai.

Ini termasuk kebolehan turun dengan tali dari pesawat, tembak tepat, mengendalikan jet ski dan banyak lagi.

Menurut Isa, kemahiran-kemahiran ala komando itu sekali gus membolehkan anggota-anggota polis marin mempunyai kemahiran bukan sahaja di laut, malah meliputi udara dan darat.

Kata Isa, selain penugasan di laut, polis marin juga dipertanggungjawabkan di kawasan darat iaitu sekitar satu kilometer dari pantai.

Sementara itu, Mohd. Saleh berkata, penugasan polis Marin Wilayah Timur lebih mencabar terutama pada musim monsun.

‘‘Ini antara cabaran getir yang perlu dilalui memandangkan keadaan ombak yang besar. Namun, demi tugasan kita tetap laksanakan juga mengawal perairan pantai,’’ katanya.

Selain itu, katanya, tugas-tugas SAR sentiasa dilakukan tanpa mengira tempat dan waktu.

‘‘Apabila ada permohonan dari orang ramai dan agensi-agensi tertentu, kita akan laksanakan seboleh mungkin,’’ katanya.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:24
Maghrib 7:21
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.