|
KUALA TERENGGANU 27 Julai - Ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Terengganu akan menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat sementara waktu sehingga selesai siasatan kes perbelanjaan penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada masa ini, Perdana V6 itu tidak dapat digunakan semula kerana BPR telah mengambil kereta-kereta berkenaan untuk tujuan siasatan.
''BPR telah ambil kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Jadi mereka kena pakai dululah (kereta Mercedes). Perdana Menteri pun kata sekali-sekala boleh pakai kereta Mercedes ini," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam dan ramah mesra dengan pemimpin empat sayap bahagian-bahagian UMNO di sini malam tadi.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dua hari lepas menegaskan kesemua 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan Terengganu hanya untuk kegunaan membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri dan keputusan itu adalah muktamad.
Dalam pada itu, Ahmad tidak menolak kemungkinan kerajaan Terengganu membeli Proton Perdana Executive V6 yang baru untuk kegunaan Exco kerana kereta sedia ada mengalami banyak kerosakan.
''Kalau nak beli pun tahun depan. Itu pun kalau (kerajaan negeri) ada duit,'' katanya.
Mengenai kemungkinan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan undang-undang berhubung satu kenyataannya yang mendakwa kereta kegunaan Idris dahulu mencatatkan belanja penyenggaraan paling tinggi, Ahmad menjelaskan, kerajaan negeri tidak pernah berniat untuk menjatuhkan imej beliau.
''Kita tidak tuju pada Datuk Seri Idris. Bukan dia salah guna, cuma (kebetulan) kereta itu digunakan oleh Menteri Besar. Sebenarnya jumlah itu silap dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mokhtar Nong) telah pun membuat permohonan maaf," ujarnya yang enggan mengulas lanjut mengenainya.
IKLAN@UTUSAN
|